Bernama.com
Rencana 31 Oktober, 2007 10:08 AM
 
Hari Kanak-kanak Sedunia: Bukti Prihatin Masyarakat Antarabangsa



Gambar fail menunjukkan Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Al-haj Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullail, mengurniakan Pingat Hang Tuah kepada Mohd Nor Omar, 16, yang telah menyelamatkan dua orang kanak-kanak daripada lemas di Sungai Terengganu. Foto: gambar ehsan daripada Arkib Negara

Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Pada 1952, Kesatuan Antarabangsa Kebajikan Kanak-kanak telah mengesyorkan hasrat kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Lantas pada Oktober 1953, Kesatuan Antarabangsa Kebajikan Kanak-kanak telah menaja Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang pertama melibatkan penyertaan 40 buah negara.

Berikutan sambutan itu, pada 14 Disember 1954, perhimpunan agung PBB dengan sebulat suara telah mengiktiraf sambutan ini dan Tabung Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dipertanggungjawab untuk memperluaskan sambutan ke seluruh dunia.

Pada 20 November 1959, PBB telah mengisytiharkan Hari Kanak-kanak Sedunia dan meminta semua negara meraikannya setiap tahun sebagai "Satu Hari Bagi Persaudaraan Dunia dan Persefahaman di Kalangan Kanak-kanak".

Kini 150 buah negara menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia. Penyertaan ini telah membuktikan keprihatinan masyarakat antarabangsa terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.

SAMBUTAN DI MALAYSIA

Di Malaysia, sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia diadakan sejak 1959 pada mana-mana hari Sabtu bulan Oktober.

Dari tahun 1960 sehingga 1994, Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia bertanggungjawab menganjurkan sambutan ini.

Mulai 1995, tugas ini telah diambilalih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat).

Pada dasarnya, Hari Kanak-kanak Sedunia mempunyai dua objektif utama iaitu

* sebagai penghormatan dan pengiktirafan masyarakat terhadap kanak-kanak dan hak mereka,

* untuk menyedarkan setiap golongan masyarakat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk memelihara hak dan masa depan kanak-kanak.

Setiap tahun satu tema penting diketengahkan kepada masyarakat untuk dihayati dan dilaksanakan bersama. Tema yang dipilih itu berdasarkan kepada isu penting pada tahun berkenaan.

Misalnya, pada tahun 2003 tema yang dipilih ialah "Dengarlah Suara Kami: Hayati dan Lindungi Hak Kami". Ia memaparkan satu gesaan dan harapan atau dalam kata lain, suara kanak-kanak yang meminta mereka dilindungi dan dikasihi pada setiap masa.

ANUGERAH PINGAT HANG TUAH

Pada peringkat awal, Anugerah Pingat Hang Tuah telah diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian istimewa mereka.

Penganugerahan Pingat Hang Tuah telah dijadikan acara tetap sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia bermula 21 Okt 1960.

Perhimpunan yang diadakan di Stadium Merdeka sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 1960 telah menyaksikan Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Al-haj Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullail, mengurniakan Pingat Hang Tuah kepada Mohd Nor Omar, 16, yang telah menyelamatkan dua orang kanak-kanak daripada lemas di Sungai Terengganu.

Bagi tempoh 1960 hingga 1977, seramai 30 orang kanak-kanak telah dianugerahkan Pingat Hang Tuah sebelum ia ditamatkan kerana ia hanya menumpukan kepada kebolehan fizikal. Ia ditukar kepada Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan pada 1982 yang mengambilkira keistimewaan seseorang kanak-kanak secara menyeluruh meliputi kecemerlangan akademik, kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, motivasi diri dan sahsiah.

TOKOH KANAK-KANAK KEBANGSAAN

Langkah ini adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif, berdisiplin dan berinovasi.

Selain memiliki keperibadian terpuji, cemerlang dalam bidang akademik dan bergiat aktif dalam persatuan dan ko-kurikulum, bakat yang menyerlahkan keistimewaan, ketokohan dan kewibawaan juga merupakan kriteria pemilihan calon.

Sejak 1982, seramai 16 orang murid (lapan lelaki dan lapan perempuan) menerima anugerah Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan.

Bagaimanapun, anugerah ini dihentikan pada 1990 dan mulai 1991 Anugerah Tunas Jaya diperkenalkan. Pemilihan teliti dibuat dengan memilih murid-murid yang benar-benar layak dan terbaik di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

TOKOH ANUGERAH TUNAS JAYA KEBANGSAAN

Mulai 1991 hingga 2006, seramai 26 orang murid (13 lelaki dan 13 perempuan) menerima anugerah Tokoh Anugerah Tunas Jaya kebangsaan.

Pingat Hang Tuah telah dihidupkan semula pada tahun 2006 dan dianugerahkan kepada Mohammad Firdaus Haris dari Gombak, Selangor, kerana keberaniannya menyelamatkan seorang kanak-kanak lain yang berusia 4 tahun daripada mati lemas di kolam renang.

Beliau menerima anugerah itu sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ke-52.

Untuk tahun ini, sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ke-53 peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada 10 November ini.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels