Bernama.com
Am 23 Oktober, 2007 18:09 PM
 
Malaysia Tanam Jagung Dan Biak Lembu Bali Di Gorontalo, Sulawesi


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia akan menanam jagung dan membiak baka lembu Bali di Gorontalo, Sulawesi Utara, Indonesia, bagi menampung peningkatan harga makanan haiwan berasaskan jagung dan keperluan bekalan daging lembu di pasaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata projek yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan itu akan melibatkan pelabur yang terdiri daripada penternak haiwan tempatan.

Beliau berkata Gabenor Gorontalo secara dasar telah bersetuju membenarkan kedua-dua projek itu dijalankan dan kementeriannya kini sedang mengenalpasti pelabur tempatan yang berminat.

"Kita akan guna kaedah "pelaburan pembalikan" yang melibatkan pelabur tempatan untuk menanam jagung di Indonesia untuk digunakan (sebagai makanan haiwan ternakan) di Malaysia bagi mengurangkan kos," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo dan Forum "Ternakan Asia" 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Katanya antara cabaran dalam industri ternakan ialah untuk menampung keperluan makanan haiwan ternakan tempatan yang kini mencecah RM2 bilion setahun dan harganya meningkat antara 40 dan 50 peratus setahun.

Mengenai pembiakan baka lembu Bali dari negara jiran itu, Muhyiddin berkata sebuah syarikat dari Muar, Johor telah menerima 500 ekor lembu baka itu dari Gorontalo kira-kira dua bulan lepas, untuk tujuan pembiakan baka lembu di negara ini.

Beliau berkata penerimaan lembu baka itu yang melibatkan pelaburan awal RM1 juta adalah langkah permulaan kepada projek pembiakan lembu Bali di wilayah tersebut bagi menampung keperluan bekalan daging negara.

Negara kini mempunyai 750,000 lembu baka yang menampung 23 peratus sara diri bekalan daging tempatan, dan memerlukan dua juta ekor lembu baka untuk menampung 40 peratus sara diri bekalan daging tempatan, katanya.

Kebanyakan lembu di negara ini adalah daripada baka Lembu KK atau kacukan baka itu.

Ekspo dan forum selama tiga hari bermula hari ini menampilkan teknologi terkini industri haiwan ternakan yang melibatkan lebih daripada 250 peserta dari 35 negara, termasuk dari Bangladesh, China, India, Indonesia, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand, United Kingdom, Vietnam dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels