Bernama.com
Am 23 Oktober, 2007 12:30 PM
 
Hampir 70 Peratus Pelajar Ponteng Dikenakan Tindakan Buang Sekolah


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Hampir 70 peratus pelajar yang dikenakan hukuman buang sekolah didapati melakukan kesalahan ponteng sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.

Beliau berkata tindakan pembuangan sekolah adalah pilihan terakhir dalam proses hukuman terhadap seseorang murid setelah usaha mencegah, membimbing dan memberi nasihat dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah.

"Kementerian sedar tindakan buang sekolah boleh menyebabkan timbulnya masalah lain seperti gejala sosial namun pelajar terbabit masih boleh merayu untuk diterima semula oleh sekolah-sekolah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri-negeri.

"Bagaimanapun, pelajar yang didapati melakukan kesalahan ponteng sekolah ini ibarat `orang mengantuk disorongkan bantal'. Dah memang mereka tidak mahu bersekolah, jadi hukuman itu menjadikan mereka lebih seronok," katanya menjawab soalan Datuk Shaari Hassan (BN-Tanah Merah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan buang sekolah itu juga dapat membantu menyelesaikan masalah disiplin murid khususnya dalam usaha mengekang ancaman keselamatan dan kesejahteraan murid-murid lain di sesebuah sekolah.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji semula hukuman dalam peraturan disiplin pelajar institusi pendidikan terutama melibatkan hukuman gantung sekolah dan buang sekolah untuk mengelakkan peningkatan keciciran pelajar dan gejala sosial yang lain.

Tambahnya, satu seminar bagi membincangkan masalah disiplin pelajar akan diadakan pada 16 Nov ini bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak dalam mencari cara terbaik mengenakan hukuman kepada pelajar yang mengalami masalah disiplin di sekolah.

"Kebanyakan hukuman sekarang ini lebih berbentuk denda. Mungkin hukuman yang akan diperkenalkan mempunyai hukuman berbentuk denda dan ciri-ciri mendidik pelajar sekolah. Kita mahu anak-anak kita mendapat pendidikan daripada hukuman yang dikenakan itu," katanya.

Noh berkata sejak 2003 hingga Mei tahun ini, seramai 21,011 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dikenakan hukuman buang sekolah.

Daripada jumlah itu, seramai 5,025 orang murid dibuang sekolah pada 2003, 5,427 orang murid pada 2004, 7,493 orang murid (2005), 2,526 orang pada tahun lepas dan sejak Januari hingga Mei tahun ini, 540 orang dikenakan hukuman terbabit.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels