Bernama.com
Am 22 Oktober, 2007 00:08 AM
 
Kronologi Angkasawan Malaysia



Sidang video bersama angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Astro Bukit Jalil pada 16 Oktober.

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kewujudan Program Angkasawan Malaysia nyata adalah kejayaan buat negara selepas berjaya menerokai bidang yang satu ketika dulu dianggap sebagai mustahil untuk direalisasikan.

Berikut ialah kronologi Program Angkasawan Malaysia, bermula dari tarikh ia dilancarkan hingga kepada detik pendaratan angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pada jam 6.37 petang waktu Malaysia di Arkylk, Kazakhstan, kira-kira 1,500km dari Moscow, Russia selepas 3 jam 23 minit perjalanan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

5 Ogos 2003: Malaysia menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM dari Russia melalui pakej bernilai kira-kira US$900 juta. Pesawat itu akan diserahkan secara berperingkat antara Jun 2006 dan akhir 2007. Pembayaran bagi pesawat itu akan dibuat sehingga 2009. Sebagai balasan, Russia akan membeli minyak sawit Malaysia, memindahkan teknologi angkasa dan melatih seorang rakyat Malaysia menjadi angkasawan pertama Malaysia.

7 Ogos 2003: Program Angkasawan Pertama Malaysia diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Oktober 2003: Lebih 11,000 pemohon berdaftar secara online untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia, yang antara kriterianya ialah berumur lebih 21 tahun dan pemegang ijazah atau juruterbang professional.

26 Mac 2004: Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (NSA), Prof Datuk Dr Mazlan Othman mengumumkan program penghantaran angkasawan pertama negara ke angkasa lepas ditangguhkan sehingga 2007.

28 Ogos 2005: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis melancarkan Larian Angkasawan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan, Pahang.

Larian sejauh 3.5 kilometer itu perlu dihabiskan dalam tempoh 20 minit dengan 435 orang mengambil bahagian dan daripada jumlah itu hanya 199 yang layak.

Saringan 2 Pemeriksaan Perubatan Asas berdasarkan Syarat Program NASA termasuk pemeriksaan mata dan ujian air kencing - 194 diuji hanya 59 yang lulus.

24 Sept 2005: Sebanyak 59 calon angkasawan negara menjalani ujian perubatan aeroangkasa selama lima hari di Institut Perubatan Penerbangan, Pangkalan TUDM Subang.

Saringan Aeromedical 1 termasuk ujian darah, hidung dan telinga, sinar X, ujian jantung (ECG) - 59 diuji hanya 27 yang lulus.

16 Jan 2006: Seramai 27 calon angkasawan negara yang berjaya melepasi ujian perubatan aeroangkasa selama lima hari bermula 26 Sept 2005 menjalani ujian renang di Pangkalan TUDM Subang.

Saringan 4 Aeromedical 2 termasuk tulang, rongga udara dan ujian emparan - 27 diuji hanya 18 yang lulus.

22 Jan 2006: Saringan 5 Penilaian keseluruhan berdasarkan prestasi dalam Saringan 1 hingga 4 dan keupayaan psikiatri, psikologi, teknikal, ujian ikhtiar hidup laut dan darat - 10 diuji hanya lapan yang layak.

Calon wanita tunggal, S Vanajah tersenarai antara lapan yang melepasi ujian itu.

Ujian Saringan 6 Pemeriksaan Perubatan termasuk imbasan CT, endoskopi dan analisis - 10 calon diuji hanya lapan yang layak.

14 Mac 2006: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan empat calon angkasawan negara, Kapten Dr Faiz Khaleed, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, S.Vanajah dan Mohammed Faiz Kamaluddin untuk menjalani latihan di Russia.

27 April 2006: Empat calon angkasawan negara berlepas ke Russia bagi melalui satu proses terakhir yang lebih rumit daripada segi penentuan kriteria fizikal, fisiologi dan psikologi.

Saringan 7 pemeriksaan perubatan di Russia termasuk neurologi dan penyesuaian tubuh dalam persekitaran mikrograviti. Empat orang diuji dan dua dipilih menjalani latihan.

4 Sept 2006: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Dr Sheikh Muszaphar dan Kapten Dr Faiz Khaleed sebagai calon angkasawan negara untuk mengikuti latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Russia selama 12 bulan.

4 Okt 2006: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berinteraksi melalui sidang video dengan calon angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Russia.

15 Julai 2007: Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed menjalani latihan ikhtiar hidup di Laut Hitam, Ukraine.

10 Sept 2007: Angkasawan negara akan menjalankan pelbagai eksperimen sains hayat mengenai sel bakteria dan protein semasa berada di angkasa lepas.

24 Sept 2007: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed layak mengikuti misi pertama negara ke angkasa lepas pada 10 Okt tahun ini.

2 Okt 2007: Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed dikuarantin di tempat khas di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bagi memastikan tahap kesihatan mereka baik.

7 Okt 2007: Roket pelancar dicantumkan bersama kapsul Soyuz menggunakan kereta api khas dari hangar yang terletak kira-kira 9km dari tapak pelancaran. Semua peralatan dan bahan kajian dibawa masuk ke dalam Soyuz pada pukul 10 pagi dan 5 petang serta telahpun lulus dalam ujian penyediaan yang ditetapkan oleh pihak Russia dan ISS.

8 Okt 2007: Roket pelancar Soyuz ke ISS akan bertolak dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dengan membawa angkasawan pertama negara ke ISS yang terletak kira-kira 333 kilometer dari muka bumi. Perjalanan ke ISS dijangka mengambil masa dua hari.

9 Okt 2007: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Jamaludin Jarjis mengumumkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bahawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor terpilih sebagai angkasawan pertama negara.

10 Okt 2007: Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor berlepas ke ISS menggunakan roket Soyuz TMA-10 buatan Russia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 9.21 malam waktu Malaysia.

12 Okt 2007: Angkasawan negara menjalankan penyelidikan di ruang sokongan hidup Modul Perkhidmatan Zvezda.

14 Okt 2007: Cubaan untuk mengadakan sidang video bersama angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya gagal kerana masalah teknikal.

15 Okt 2007: Sidang video bersama angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor diadakan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

16 Okt 2007: Sidang video kedua bersama angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Astro.

19 Okt 2007: Sidang video ketiga bersama angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan rakyat di Pusat Sains Negara.

21 Okt 2007: Angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor selamat kembali ke Bumi bersama kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau dan dua lagi krew, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov. Mereka mendarat di Arkylk, Kazakhstan, kira-kira 1,500km dari Moscow kira-kira pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas perjalanan selama 3 jam 23 minit dari ISS.

-- BERNAMA






Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels