Bernama.com
Am 18 Oktober, 2007 15:37 PM
 
USM Hasil Vaksin Halal Meningitis Pertama Di Dunia Dua Tahun Lagi



Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed (tengah) menghadiri sambutan Aidilfitri Kampus Kesihatan USM di Kota Baharu. Foto: Zahari Razak

KOTA BAHARU, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia bakal menghasilkan vaksin halal bagi penyakit meningitis (radang otak) pertama di dunia dua tahun lagi yang akan memberi manfaat kepada ribuan jemaah haji termasuk dari negara lain.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed berkata Universiti Sains Malaysia akan bekerjasama dengan Finlay Institute di Cuba, yang diiktiraf antara institut perubatan terbaik di dunia, untuk menghasilkan vaksin berkenaan.

"Sebanyak RM3.6 juta telah diperuntukkan bagi membolehkan vaksin ini dihasilkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Kampus Kesihatan USM di sini hari ini. Turut hadir Naib Canselor USM Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor USM Prof Madya Omar Osman dan Pengarah Kampus Kesihatan USM di sini Prof Datuk Mafauzy Mohamed.

Mustapa berkata 12 pakar perubatan USM dan 30 pakar dari institut itu akan bergabung tenaga bagi menghasilkan vaksin itu.

"Ini satu kejayaan USM dan satu kebanggaan buat negara," katanya.

Mustapa berkata umat Islam di seluruh dunia kini terpaksa bergantung kepada vaksin yang tidak halal sedangkan pengambilannya diwajibkan sebelum menunaikan fardu haji dan umrah.

Beliau juga berkata kementerian memperuntukkan RM200 juta untuk diagihkan kepada empat universiti bagi menjalankan penyelidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini peruntukan tambahan kepada USM, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya.

Mustapa kecewa kerana beberapa projek pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi tidak berjalan mengikut jadual.

Katanya beliau akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya untuk mempercepatkan pelaksanaan semua projek berkenaan.

-- BERNAMA


Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels