Bernama.com
Rencana 16 Oktober, 2007 09:43 AM
 
Wadi Tidak Patah Semangat Gigih Hasilkan Kraftangan



KREATIF… Wadi Kassim bersama isterinya, Rohana Husin menunjukkan hasil pasu bunga yang diperbuat daripada buah kelapa tua. Meskipun tidak pernah mendapat latihan formal dalam bidang pembuatan kraftangan, Wadi gigih menghasilkan barangan kraftangan sejak 17 tahun lalu. Foto: Melati Mohd Ariff

Oleh Melati Mohd Ariff

KUANTAN, 16 Okt (Bernama) -- Melihat hasil kraftangan yang dihasilkan, mungkin sukar untuk percaya orang yang membuatnya tidak pernah mendapat latihan formal dalam bidang pembuatan kraftangan. Kesempitan hidup juga membuatkan dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.

Dia sendiri menggambarkan kehidupan semasa kecilnya seperti "anak ayam kehilangan ibu" apabila kedua orang tuanya meninggal dunia. Sedari usia 10 tahun, dia terpaksa menumpang hidup dengan saudara-mara termasuk bapa saudaranya yang sememangnya terbabit dalam bidang membuat kraftangan.

Ketika itulah dia banyak memerhati cara bapa saudaranya bekerja. Antara kraftangan yang dihasilkan oleh bapa saudaranya ialah bubu, hulu parang dan gasing. Mulai daripada detik itu juga timbul minat untuk dia belajar membuat barang-barang kraftangan.

Penulis diberitahu, kraftangan merupakan pusaka keturunan leluhurnya yang sudah berakar umbi di Riau, Sumatra sejak sekian lama.

BUAT KEPUTUSAN

Mungkin juga darah seni membuat kraftangan yang sudah sebati dengan kehidupan leluhurnya membuatkan Wadi bin Kassim, 46, akhirnya memutuskan untuk menjadi pembuat kraftangan kira-kira 17 tahun yang lalu.

Dia sebelum itu sudah lelah membanting tulang, melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk bertani, bekerja di estet kelapa sawit dan menjadi nelayan.

"Bila anak-anak sudah besar, saya berfikir panjang tentang kehidupan saya dan mencari-cari apa yang boleh saya lakukan. Saya pun bukan sekolah. Kawan-kawan pun ada bagi pandangan. Saya mula berfikir apa bahan asas terbuang yang boleh saya gunakan.

"Saya juga lihat banyak buah kelapa yang jatuh bersepah, ada yang sampai tumbuh dan daun kelapa melambak-lambak. Kalau diusahakan daun itu, diraut menjadi lidi boleh juga dapat hasil walau pun hanya beberapa sen," demikian penjelasan anak kelahiran Riau ini yang datang ke Malaysia pada tahun 1981.

Ketika penulis singgah di "teratak" kraftangan Wadi yang diberi nama "Sri Nirwana Duri Indah", Wadi sedang duduk santai bersama isterinya, Rohana Husin, 35.

Hujan yang turun ketika itu membuatkan teratak kraftangan itu lengang tiada pengunjung, memberikan penulis kesempatan menemu bual pengusaha yang gigih ini.

UNIK DAN KREATIF

Uniknya "teratak" kraftangan Wadi ini yang terletak di Kg Cempaka, Jalan Penor, kira-kira 10 km dari bandar Kuantan ialah setiap bahan yang digunakan adalah hasil dari hutan dan belukar serta kampung.

Hutan dan belukar bagi Wadi menyimpan banyak khazanah bahan mentah yang boleh dimanfaatkan. Sememangnya asas mencari makan keturunan leluhurnya di Riau adalah yang dimanfaatkan daripada hutan.

Meskipun tampak sederhana, struktur teratak kraftangan ini begitu menarik perhatian penulis. Antara kayu yang digunakan ialah dari pokok tembusu dan nibong. Kayu nibong juga digunakan untuk membuat bangku bagi memudahkan pengunjung duduk sambil melihat-lihat barang kraftangan yang dijual di situ.

Bumbungnya pula diperbuat daripada daun nipah dan daun pokok sedang.

Jalur Gemilang turut kelihatan megah menghiasi bumbung teratak kraftangan ini di samping bendera negeri Pahang Darul Makmur.

BERMULA DENGAN MODAL RM250

Menurut Wadi dia bermula dengan modal hanya RM250 untuk membeli peralatan yang diperlukan termasuk pisau dan alat-alat lain untuk mengolah rotan.

Di peringkat awal, dia hanya membuat tudung saji dan itu pun secara sambilan semasa dia masih bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Kemaman, Terengganu.

Dia berpindah ke Pahang selepas setahun mendirikan rumah tangga bagi sama-sama membantu isterinya menjaga ayah dan ibu mentuanya yang masing-masing lumpuh dan tidak dapat melihat.

"Kebanyakan penduduk di kampung isteri saya bekerja sebagai nelayan. Saya cuba juga menjadi nelayan tetapi tidak lama. Pada masa itu saya buat kerja kraftangan secara sedikit-sedikit. Semuanya saya buat sendiri, dari mencari bahan mentah hingga kepada barang siap. Adakalanya saya berjaga sampai pukul 4 pagi untuk menyiapkan kerja saya," cerita Wadi sambil menambah tudung saji merupakan barangan kraftangan yang pertama dihasilkannya.

Berbekalkan asas dan minat yang mendalam, Wadi kemudiannya nekad untuk menjadikan kraftangan sebagai mata pencariannya secara sepenuh masa kira-kira empat tahun yang lalu.

"Saudara-mara dan kawan-kawan turut memberi dorongan dan ini menaikkan lagi semangat saya," tambahnya.

MENUMPANG IHSAN

Teratak kraftangan Wadi ini sebenarnya terletak di tanah orang. Tuan punya tanah ini yang tinggal bersebelahan dengan teratak ini bermurah hati membenarkannya menggunakan tapak tersebut secara percuma.

"Tuan punya tanah ini kesiankan saya sebab saya tidak mempunyai pekerjaan. Dia kata buatlah pondok untuk berniaga," kata Wadi yang memberitahu dia juga menjual buah kelapa muda dan kelapa tua di teratak tersebut untuk menambah pendapatan.

Di bulan Ramadan, Wadi dan isterinya turut menjual lemang dan rendang di teratak kraftangannya.

Menurut Wadi, pendapatan dari hasil jualan kraftangan adalah tidak menentu. Adakalanya dia hanya mendapat beberapa ringgit sahaja. Ada masa jualan mencecah beberapa ratus ringgit.

Meskipun begitu, dia masih bersemangat kental untuk meneruskan kerjanya menghasilkan kraftangan kerana minatnya yang mendalam.

"Bagi saya duit soal nombor dua tetapi hati nak senang dan tenang. Rezeki itu Tuhan yang beri. Kita hanya jangan berputus asa. Yang penting kita teruskan usaha kita," kata Wadi.

Nada suaranya mencerminkan kepuasan hatinya dapat menggunakan bakat yang ada untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarganya. "Anak-anak saya bersekolah hasil kerja tangan saya dan saya juga dapat membantu mentua saya," katanya yang turut membuat atau mengambil tempahan membuat atap nipah bagi meningkatkan hasil pendapatannya.

Anak sulung pasangan ini, Mohd Yusri berusia 17 tahun sementara anak kedua, Yusni berumur 13 tahun.

HASIL KRAFTANGAN

Hampir semua barang yang dijual di teratak kraftangan ini adalah hasil kerja tangan Wadi sendiri.

Pelbagai jenis bubu (alat menangkap ikan berupa bakul) yang diperbuat daripada buluh digantung di sekitar halaman teratak tersebut, kebanyakannya adalah untuk hiasan rumah.

Wadi juga menggunakan buluh untuk membuat angklung dan sanggang iaitu tiang untuk meletak pasu untuk bunga hiasan.

Daripada pokok kelapa, dia bukan sahaja menggunakan buah kelapa tua untuk menghasilkan pasu bunga (terdapat pasu bunga ini yang ditanam dengan anggerik hutan dan periuk kera digantung di teratak kraftangan ini) tetapi juga menggunakan batang kelapa untuk membuat lesung hiasan, tangkai senduk dan lastik.

Tempurung kelapa pula digunakan untuk membuat gayung, teko air dan tempat abu rokok.

"Batang pokok kelapa ini kalau orang pandai boleh dibuat perabot tetapi memerlukan peralatan yang sesuai, tak cukup pakai kapak sahaja," jelas Wadi. Dia juga berpendapat batang pokok nibong juga boleh digunakan untuk membuat perabot tetapi perlu berhati-hati kerana ia mudah merekah.

Kulit kayu juga, katanya boleh dijadikan dinding rumah sambil menunjukkan contoh kulit kayu jangkang yang terdapat di teratak tersebut.

"Orang-orang tua dahulu buat dinding gunakan kulit kayu," katanya sambil menunjukkan album yang mengandungi gambar rumah di Riau yang dindingnya diperbuat daripada kulit kayu.

PERLU TEKUN DAN SABAR

Menurut Wadi, untuk melakukan apa yang dilakukannya memerlukan kesabaran, ketekunan dan keyakinan.

"Saya tak kedekut ilmu, nak belajar dengan saya boleh tetapi saya tak bayar gaji. Dulu ada yang pernah datang nak belajar dengan saya. Saya cuma uji dia dengan memberikan sebatang buluh dan pisau. Dia cuba tetapi tak tahan kerana tangan luka.

"Kerja yang saya buat ini kerjanya rumit dan merbahaya kerana menggunakan pisau yang tajam. Kalau orang yang biasanya kerja di pejabat pegang kertas dan pen sukar nak buat kerja yang macam saya buat. Nak masuk ke dalam hutan pun macam tu juga, kalau tak tahan dengan nyamuk, kutu babi dan lintah, susah juga," cerita Wadi.

Bagi Wadi selagi dia masih bertenaga dan dapat bergerak dia akan meneruskan usahanya.

Teratak "Sri Nirwana Duri Indah" Wadi ini dibuka setiap Sabtu dan Ahad dari jam 8:00 pagi hingga 7:00 malam.

-- BERNAMA


Copyright © 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels