Bernama.com
Rencana 19 September, 2007 16:06 PM
 
Bentuk Semangat Patriotisme Melalui Sukan


Oleh Nurul Halawati Azhari

Kuala Lumpur, 19 Sept (Bernama) -- "Jika ingin memupuk semangat patriotisme di bidang sukan dalam jiwa anak Malaysia, pupuklah semangat tersebut sejak mereka di bangku sekolah lagi," itulah kata-kata pakar sejarah tempatan Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Kejayaan ratu boling negara Shalin Zulkifli membantu Malaysia meraih pingat emas di Kejohanan Boling Wanita Dunia di Monterrey, Mexico baru-baru ini adalah contoh terdekat.

Menurut Shalin, semangat Malaysia Boleh dan setiakawan telah membantu mereka mengharungi cabaran untuk menggondol kejuaraan.

Manakala Velodrom Hua Mak, Bangkok pula menyaksikan kebangkitan pelumba muda negara sekaligus lagu Negaraku berkumandang di Kejohanan Lumba Basikal Asia ke-27 apabila mereka berjaya meraih tiga pingat emas.

Malah kemenangan skuad junior Malaysia ke atas Myanmar dalam perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka di saat-saat negara menghampiri sambutan Kemerdekaan Negara Ke-50 juga diakui adalah di atas suntikan semangat patriotisme yang meluap-luap di dalam diri setiap pemain negara.

PATRIOTISME PEMANGKIN SEMANGAT

"Patriotisme adalah satu perasaan cinta yang amat kuat terhadap tanahair menyebabkan seseorang itu sanggup berjuang berhabis-habisan demi maruah negaranya.

"Bagi membentuk semangat cintakan negara, saya berpendapat sistem persekolahan adalah saluran terbaik jika kita mahu melahirkan generasi yang cintakan negara.

"Sukan di sekolah hari ini sudah banyak berbeza dari dahulu. Kenapa generasi lama dilihat lebih cemerlang dalam bidang sukan berbanding generasi hari ini?," soal Profesor Khoo.

Menurut beliau, dahulu murid-murid sanggup berdiri di tepi padang sehingga dipanggil guru. Masing-masing menunjukkan kebolehan mereka dengan bersungguh-sungguh. Berbeza dengan murid-murid sekarang, semangat juang tidak tinggi dan mudah merajuk.

Kini, murid tidak digalakkan terlalu aktif dalam sukan. Mereka kurang dihargai dan perlu mementingkan pelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

GANJARAN DISALAH ANGGAP

Bagi Profesor Khoo, dahulu walaupun ganjarannya tidak seberapa, namun wakil yang terpilih akan bermain bersungguh-sungguh.

"Dahulu mana ada ganjaran wang. Mereka hanya tahu apabila bertanding mesti menang. Menang saja dapat cuti setengah hari dengan perasaan yang amat bangga.

"Sekarang, bila wang dipertaruhkan sebagai ganjaran (bukan murid sekolah), dunia sukan negara mula berubah. Hinggakan ada yang sanggup menerima sogokan wang untuk kalah," jelas Profesor Khoo.

Kata beliau, sukan membentuk kesedaran dalam diri individu dan membangkitkan semangat pertandingan yang boleh membawa kepada interaksi sosial yang bermakna.

Manakala di peringkat masyarakat pula, sukan dapat menggalakkan pembinaan kualiti fizikal dan moral masyarakat.

Malah sukan juga mewujudkan suasana yang kondusif untuk pemupukan perhubungan komuniti yang lebih baik dalam pelbagai kumpulan etnik dalam negara.

"Ketika inilah mereka dapat melupakan perbezaan etnik dan boleh bekerjasama sebagai satu pasukan dengan satu azam," kata beliau lagi.

Semangat patriotik akan terpamer dalam usaha para atlet negara mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi dan kecemerlangan tersebut perlu dicapai dengan semangat kesukanan yang tulen.

Bagi Profesor Khoo, kritikan pedas ke atas skuad bola sepak negara sewaktu Kejohanan Piala Asia Julai lalu bukan kerana masyarakat tidak patriotik hingga tidak turun menyokong pasukan negara, tetapi kerana mereka kecewa dengan persembahan pemain negara.

Menyentuh tentang desakan agar mereka yang tidak layak memegang pengurusan mana-mana persatuan sukan mengundurkan diri, Profesor Khoo menyifatkan sama ada individu itu lelaki atau wanita, mereka mestilah berminat dan berpengetahuan dalam bidang sukan tersebut.

"Jika pentadbir boleh campur tangan dalam hal-hal profesional, ini menyebabkan orang yang tidak faham melarang orang yang faham untuk menjalankan tugas," komennya lagi.

PERLU UNTUK PATRIOTISME

Profesor Khoo juga menekankan bahawa tahap patriotisme dalam bidang sukan bukan diukur pada Sukan SEA sahaja, tetapi diukur pada tahap yang lebih tinggi iaitu semasa sukan-sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.

"Dalam sukan, tidak kira siapa sahaja yang dipilih menerajui persatuan atau atlet negara, syaratnya mereka mesti berjaya. Jika ada atlet yang sudah hilang minat, tidak guna kita memaksa atau mengekalkan mereka lagi," sambung beliau.

Manakala bagi ahli sukan yang sudah mencapai tahap profesional, beliau mengakui agak sukar menyekat mereka bermain untuk negara luar. Mungkin ada yang berjaya disebabkan oleh ganjaran yang lumayan.

Tetapi selagi mereka terus menang, ia masih boleh dimaafkan. Sekurang-kurangnya apabila mereka berjaya, nama Malaysia turut disebut-sebut.

PENONTON BUKAN TIDAK PATRIOTIK

"Saya masih ingat lagi apabila (Persekutuan) Tanah Melayu memenangi Piala Thomas pada tahun 1949. Reaksi masyarakat amat luar biasa. Di mana-mana sahaja kita dapat melihat orang bermain badminton tanpa mengira usia.

"Begitu juga sewaktu kemenangan Malaysia pada tahun 1992, merata-rata tempat kita boleh lihat orang bermain badminton," jelas Profesor Khoo.

Bagi Profesor Khoo, penonton Malaysia bukan tidak patriotik. Jika diperhatikan, orang ramai tidak akan memberi sokongan sekiranya pasukan negara tidak menang.

Contohnya pada tahun 1975, sewaktu pasukan hoki negara mengalahkan Belanda 2-1 untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia.

Stadium Merdeka dibanjiri lebih dari 40,000 penonton. Satu rekod dunia untuk sukan hoki. Malangnya Malaysia tewas 3-2 kepada India, setelah mendahului 2-1.

Kata Profesor Khoo masyarakat ada hak untuk menyokong dan mereka tidak boleh disalahkan dan dituduh tidak patriotik jika mencemuh permainan yang tidak bersemangat.

Beliau berkata, tidak perlu terlalu banyak slogan sehingga boleh menjadi bahan untuk dipersenda.

Sebaliknya, hasil yang ditunjukkan itulah yang jauh lebih penting untuk menunjukkan patriotisme mereka.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels