Bernama.com
Am 28 Ogos, 2007 16:11 PM
 
Terdapat Unsur Kecuaian Doktor Dalam Kes Bayi Tersalah Suntik, Kata Chua


PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Terdapat unsur kecuaian doktor dalam kes bayi yang sel tangan kirinya mati akibat tersalah suntik oleh seorang doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang awal bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini.

Beliau kecewa dengan kejadian itu kerana doktor pakar yang bertugas ketika itu hanya memberikan arahan melalui telefon kepada seorang doktor pelatih untuk mengendalikan kes itu yang akhirnya membawa padah.

"Secara terbuka kami mendapati bahawa terdapat kelemahan dalam prosedur rawatan ke atas bayi itu. Tambahan pula bayi itu dilahirkan dalam keadaan pramatang dan ini menimbulkan kesulitan kerana rawatannya agak rumit.

"(Perbuatan mengarahkan) seorang doktor pelatih untuk jalankan rawatan itu tidak harus berlaku. Doktor yang bertugas sepatutnya datang melihat sendiri pesakit dan tidak memberikan arahan melalui telefon," katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog bersama pengusaha hospital swasta di kementeriannya di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan hasil siasatan jawatankuasa bebas mengenai kes itu yang dipengerusikan oleh Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Ang Kim Teng.

Awal bulan ini, lengan Lai Yok Shan, yang ketika itu baru berusia tiga minggu didapati tidak berfungsi setelah selnya mati akibat kecederaan ketika dirawat di HTAR dan menghadapi risiko terpaksa dipotong.

Bapa bayi berkenaan, Lai Kian Khee, 24, telah menyuarakan hasratnya untuk menyaman HTAR dan doktor terbabit berikutan kejadian malang yang menimpa anaknya.

Dr Chua berkata kementeriannya kini sedang berbincang dengan pihak Peguam Negara untuk menentukan jumlah bayaran ex gratia yang perlu dibayar kepada keluarga Lai berikutan kecuaian doktor berkenaan.

Semasa ditanya mengenai keadaan bayi tersebut, Dr Chua berkata keadaannya stabil.

Mengenai kedudukan doktor pelatih terbabit, menteri itu berkata doktor pelatih berkenaan masih boleh meneruskan latihannya di hospital itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohamad Ismail Merican ketika ditemui pula mengesahkan tindakan tatatertib akan diambil ke atas doktor terbabit ekoran berlakunya kecuaian.

Beliau juga berkata pihaknya mengadakan pertemuan khas hari ini dengan sekumpulan doktor pakar bagi membincangkan langkah selanjutnya supaya kes kecuaian seumpama itu tidak berulang.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Dr Chua berkata kerajaan akan meminda Akta Perubatan 1971 bagi mewajibkan doktor yang bertugas di hospital swasta membeli insurans bagi menghadapi sebarang kes saman sekiranya terdapat sebarang kecuaian.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya berharap pindaan itu dapat dikuatkuasakan tahun depan.

"Pada masa ini doktor di hospital kerajaan tidak mempunyai masalah kerana kerajaan telah menyediakan insurans untuk mereka, tetapi swasta masih belum diwajibkan. Jadi, bila ada kes saman dan jumlahnya terlalu besar, doktor hanya membuat pengisytiharan muflis kerana tidak mampu membayarnya," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels