Bernama.com
Am 02 Ogos, 2007 11:53 AM
 
Laluan Baru Dari Kelantan Ke Thailand


KOTA BAHARU, 2 Ogos (Bernama) -- Jambatan Bukit Bunga di Tanah Merah, yang akan menjadi laluan baru ke Thailand, adalah antara beberapa projek yang akan dibina oleh kerajaan pusat di Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini berkata laluan baru di sempadan Malaysia-Thailand itu akan dibiayai sebahagian daripada RM579.1 juta yang telah diperuntukkan kepada Kelantan dalam RMK-9.

Samy Vellu mengumumkan perkara ini ketika berucap pada pada majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra berharga RM143 juta di sini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Projek-projek baru lain di Kelantan termasuk membina Jalan Kota Baharu-Kuala Krai; memperelok Jalan Gua Musang-Jelawang Jeli; membina jalan pintas Pasir Mas; memperelok Jalan Pasir Puteh-Gong Kulim-Tok Bali; dan memperelok Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu.

Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang yang menghubungkan empat negeri iaitu Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Mengenai Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, beliau berkata projek itu yang bermula pada 2001 dalam RMK-8, akan menambah kapasiti dan meningkatkan keupayaan Jambatan Sultan Yahya Petra yang dibina 42 tahun lepas.

Projek itu melibatkan pembinaan sebuah struktur bertingkat yang akan mengunjur dari Bulatan Kijang terus ke Dusun Muda berhadapan Kompleks KB Mall.

"Struktur bertingkat serba moden ini akan menjadi yang pertama dibina di sini, seterusnya memberi imej moden kepada bandar Kota Baharu," kata Samy Vellu.

Beliau berkata jambatan kedua itu akan dapat merangsang lagi pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Kelantan memandangkan jambatan itu akan menjadi pelengkap kepada sistem penghubung darat di Wilayah Pembangunan Koridor Timur.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels