Bernama.com
Am 27 Julai, 2007 21:09 PM
 
Permohonan I-Kad Bagi Pembantu Rumah Wajib


PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen akan mewajibkan setiap majikan yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah asing untuk memohon i-kad apabila diperkenalkan tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don berkata langkah itu perlu disegerakan kerana golongan pembantu rumah asing agak sukar dipantau berbanding dengan warga asing yang bekerja dengan syarikat besar atau menuntut di institusi pengajian tinggi.

"Ini merupakan salah satu usaha untuk memantau mereka. Imigresen juga akan bekerjasama dengan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) untuk mengesan golongan ini bagi memastikan mereka tidak tercicir untuk mendapatkan i-kad," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata ia juga akan memudahkan jabatan itu untuk mengeluarkan kad identiti baru yang akan diwajibkan untuk pekerja asing, pembantu rumah asing, pelajar antarabangsa, ekspatriat dan peserta program "Malaysia Rumah Kedua Ku".

"Apabila tarikh permohonan diumumkan nanti, majikan boleh datang sendiri ke pejabat imigresen di setiap negeri dan memohon i-kad untuk pekerja mereka yang berbangsa asing," katanya.

Wahid berkata sebagai permulaan, pihak imigresen sedang melaksanakan pengeluaran i-kad secara berperingkat untuk kira-kira 66,000 pelajar asing yang menuntut di negara ini.

Untuk tujuan pengeluaran i-kad, beliau berkata jabatan itu akan menubuhkan unit khas di setiap pejabat imigresen negeri dan menambah jumlah kakitangan sementara bagi membolehkan proses permohonan berjalan lancar.

"Jabatan juga akan menubuhkan unit bergerak yang akan pergi ke kawasan yang sukar seperti pedalaman untuk membantu pekerja asing di sana mendapatkan i-kad," katanya.

Beliau berkata fasa pertama yang membabitkan pelajar asimg itu dijangka selesai penghujung Ogos ini dan fasa seterusnya yang melibatkan hampir dua juta pekerja asing akan diteruskan selepas itu.

Walaubagaimanapun tarikh sebenar untuk permohonan i-kad untuk golongan pekerja asing akan diumumkan kemudian, katanya.

I-kad yang memiliki 17 ciri keselamatan yang tinggi termasuk menyimpan cap jari biometrik, gambar serta maklumat pemegang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac lepas bertujuan memantau pelajar asing di dalam negara termasuk golongan pekerja dan ekspatriat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels