Bernama.com
Am 14 Julai, 2007 22:33 PM
 
Ketiadaan Kemahiran Insaniah Punca Siswazah Menganggur, Kata Mustapa


JOHOR BAHARU, 14 Julai (Bernama) -- Kegagalan siswazah mendapat kerja adalah disebabkan mereka tidak memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan majikan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata selain daripada lemah penguasaan bahasa Inggeris, siswazah didapati berfikiran sempit, tiada ciri kepimpinan, semangat kekitaan dan tiada kemahiran berkomunikasi.

"Dalam dialog kita dengan majikan di negara ini, ramai mengatakan graduan universiti tidak diambil kerja kerana tidak memiliki kemahiran insaniah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar ambilan baru Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Ketika ditanya mengenai peratusan siswazah yang tidak diambil kerja kerana faktor itu, Mustapa hanya berkata: "Saya tidak mahu mencetuskan kebimbangan tetapi sesetengah siswazah memang tidak sesuai diambil bekerja."

Beliau berkata kementerian itu akan mengkaji perkara itu secara mendalam dan mencari jalan untuk mengatasi masalah itu bagi membolehkan lebih ramai siswazah diambil bekerja.

Ketika berucap pada majlis itu, Mustapa mengingatkan 5,585 pelajar baru yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dan diploma, bahawa pencapaian akademik sahaja tidak akan menjamin kerja.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels