Bernama.com
Rencana 02 Julai, 2007 10:58 AM
 
Komunikasi Berkesan Asas Keharmonian Keluarga


Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Fenomena hari ini yang memperlihatkan pelbagai gejala sosial serta tanda-tanda keretakan institusi keluarga, memerlukan perhatian kita agar menilai kembali halangan-halangan dalam institusi keluarga yang menjadi penyebab kepada keretakan tersebut.

Antara halangan utama yang menjadi penyebab kerenggangan hubungan yang sepatutnya kukuh itu adalah halangan komunikasi kekeluargaan.

Ia merujuk kepada proses interaksi dua hala antara suami dengan isteri atau ibu bapa dengan anak atau sesama ahli keluarga yang lain. Hubungan komunikasi tersebut turut merangkumi komunikasi 'intra-personal' dan 'interpersonal'.

Keseluruhan hidup yang kita jalani memerlukan komunikasi bagi mencapai keharmonian. Gunanya agar kita dapat memahami, membimbing, mendidik, menyatakan perasaan dan fikiran dalam proses meningkatkan kepercayaan terhadap pasangan.

Menurut Ketua Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, komunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan suami isteri.

"Kita menggunakan komunikasi dalam proses mendapatkan zuriat, menyatakan perasaan dan kehendak, membina kemesraan dan kasih sayang, berhibur, mengenali pasangan dengan lebih dekat dan juga untuk membimbing dan mendidik," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Komunikasi Dalam Keluarga' pada Seminar Pemantapan Keluarga Siri ke-14 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini baru-baru ini.

Justeru, katanya, dalam mencapai proses tersebut, suami isteri haruslah sedar bahawa rumah tangga yang dibina itu adalah milik bersama.

Bahkan mereka juga perlu memberi masa kepada pasangan untuk berkomunikasi dan saling bertindak balas, tambah beliau.

Pasangan juga perlu sentiasa melayan dan menjadi pendengar yang baik. Malah berusaha mengelak komunikasi yang tidak selaras serta menggunakan panggilan yang mesra dengan penuh kasih sayang.

MENGHARMONIKAN RUMAH TANGGA

Norazman turut mencadangkan beberapa petua dilakukan oleh ramai pasangan yang bahagia dan telah terbukti keberkesanannya.

Antaranya ialah dengan berkongsi melakukan kerja-kerja rumah, berbincang dalam membuat perancangan pengurusan dan keputusan.

"Memang ada perbezaan tentang cara berfikir lelaki dan perempuan. Mungkin si isteri suka bercakap, suaminya pula lebih banyak berdiam menyebabkan perbincangan seringkali menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak satu lagi.

"Di sinilah kemahiran berkomunikasi sama ada secara verbal mahupun perbuatan perlu diketahui oleh setiap pasangan. Sesekali, pasangan suami isteri perlu menggunakan komunikasi humor untuk mengurangkan konflik dan ketegangan.

"Ada beberapa perkara yang dapat mengeratkan lagi kemesraan sesama ahli keluarga. Misalnya memperingati dan meraikan hari penting pasangan. Beribadah dan diamalkan secara berjemaah. Selain kegiatan beriadah dan melancong bersama," terangnya.

Pada masa yang sama, setiap suami dan isteri perlu tahu bagaimana adabnya melayan pasangan iaitu dengan menggunakan cara dan adab yang telah digariskan dalam Islam seperti memberi salam, sopan dan hormat.

Sebagai ibu bapa pula, Norazman menekankan bahawa ibu bapa adalah contoh kepada anak-anak dan tingkah laku mereka mudah menjadi perhatian dan ikutan anak-anak.

"Dampingi mereka dengan memberikan kasih sayang yang sempurna. Luangkan masa untuk berbincang masalah mereka. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian.

"Sekiranya diabaikan tanggungjawab ini, jiwa anak-anak akan kekosongan dan mereka berasa tidak diperlukan oleh ibu bapa. Itulah sebabnya ada yang akan mencari sesuatu yang dapat memenuhi jiwa mereka di luar rumah.

"Akibatnya, ramai yang tercebur ke kancah maksiat dan dadah. Keluarga tersebut tentulah akan retak hubungannya.

Selain itu, cara penampilan ketika berbicara juga perlu diambil kira. Misalnya memek muka, kesediaan fizikal dan mental, nada suara serta tatacara memberi tumpuan.

Pasangan juga dinasihatkan agar tidak terlalu mempertahankan hak dan kedudukan mereka. Letakkan sikap saling hormat-menghormati dan anggaplah pasangan hidup tersebut individu terpenting dalam kehidupan. Malah jangan sesekali melakukan penderaan fizikal dan psikologikal.

PENDEKATAN STRATEGIK UNTUK MENJADI PASANGAN BAHAGIA

Pasangan juga dinasihatkan agar sentiasa menganalisa diri mereka. Tujuannya bagi mencari kelebihan, kelemahan, peluang, cabaran dan cara menanganinya.

Malah turut digalakkan mencari ilmu dan kemahiran serta meneguhkan pegangan agama untuk diri dan keluarga. Selain saling hormat-menghormati, saling mengambil tahu dan saling tolong-menolong dalam usaha mencapai impian dan matlamat kebahagiaan keluarga.

Bapa juga perlu menjadi model ikutan, sering bermusyawarah, berjimat dan menguruskan kewangan dengan berhemah serta mengamalkan kebaikan dan kebajikan serta menjauhi kemungkaran.

Norazman turut menggariskan tujuh pendekatan yang boleh dilaksanakan dalam setiap keluarga. Tujuh Pendekatan Sakinah (Aman Damai) itu ialah:

* Sayang menyayangi antara satu sama lain

* Amanah dan bertanggungjawab

* Melaksanakan Kepimpinan sebagai ketua keluarga

* Ikhlas dan jujur

* Nafsu yang terkawal

* Tidak angkuh dan besar diri (ego)

* Saling hormat-menghormati



"Suami dan isteri perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan. Sebagai ibu bapa, mendidik anak-anak tentang pentingnya amalan nilai-nilai murni akan menentukan keharmonian serta membina asas kekitaan yang kukuh dalam diri.

"Dengan cara ini, anak-anak tersebut akan berkembang menjadi individu berkualiti serta dapat menjamin pembentukan generasi yang lebih baik di peringkat yang lebih meluas," ulas beliau.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels