Bernama.com
Am 28 Jun, 2007 12:43 PM
 
Sejumlah 200 Guru Bermasalah Diambil Tindakan Tahun Ini


KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Sejumlah 200 kes guru bermasalah dikenalpasti oleh Kementerian Pelajaran bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuh Noh Omar berkata, daripada jumlah itu 37 peratus melibatkan kes tidak hadir bertugas, 17 peratus kes cabul atau gangguan seksual, 15 peratus rasuah, 10.5 peratus pelanggaran tata kelakuan, tidak jujur, tidak amanah dan ingkar perintah.

Sejumlah 9.5 peratus membabitkan kes salah guna dadah, enam peratus terlibat dalam kes kecurian, tujuh peratus kes jenayah syariah dan satu peratus kes keterhutangan serius, katanya.

"Daripada jumlah itu (200 kes) kita telah berjaya menyelesaikan 81 kes," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam).

Mat Yasir bertanya setakat mana usaha kerajaan dalam memartabatkan profesion perguruan dan berapa ramai guru dikenal pasti bermasalah dan telah diambil tindakan.

Menjelas lanjut Noh berkata, bagi kes yang dikenal pasti itu, kementerian telah mengambil beberapa tindakan termasuk buang kerja (22 kes), menurunkan gaji (17 kes), melucutkan hak emolumen (17 kes), diberi amaran (10 kes), selesai secara pentadbiran (5 kes), dibebaskan (4 kes), diturunkan pangkat (2 kes), tangguh pergerakan gaji (1 kes), lain-lain (3 kes).

Noh berkata, bagi menangani kes guru bermasalah, kementerian itu melalui Bahagian Sumber Manusia di Cawangan Kaunseling dan Keutuhan telah mengambil beberapa langkah antaranya melaksanakan Program 3P (Perkembangan, Pencegahan dan Pemulihan).

Beliau berkata bagi Januari hingga 30 April tahun ini, seramai 88 orang pegawai dan staf kementerian itu telah dirujuk ke cawangan tersebut untuk menjalani sesi kaunseling yang membolehkan mereka membuat orientasi diri sebelum dibenarkan menyertai semula sistem organisasi.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels