Bernama.com
Rencana 08 Mac, 2007 09:56 AM
 
Peninggalan Brooke, Warisan Pelancongan Sarawak


Oleh Caroline Jackson

KUCHING, 8 Mac (Bernama) -- Seperti Pulau Pinang dan Melaka yang warisan serta pengaruh penjajahan kini dijadikan produk pelancongan, Sarawak juga mahu menampilkan warisan sejarahnya sebagai tarikan pelancong tetapi dalam cara tersendiri.

Sejarah awal Sarawak adalah unik kerana ia bukan diperintah oleh empayar asing tetapi oleh sebuah keluarga, pemerintahan keluarga Brooke dari 1841-1941.

Apabila James Brooke tiba pada 1839, Kuching hanya terdiri daripada pondok-pondok kayu beratap nipah yang didirikan sepanjang Sungai Sarawak, kebanyakannya di sepanjang Bazaar Utama yang terdapat hari ini.

Semasa pemerintahan keluarga Brooke banyak bangunan mercu tanda dan warisan muncul, antaranya Rumah Biskop yang dibina pada 1849, Masjid Negeri Lama (1847), Rumah Kerajaan (1857) dan Katedral St. Thomas (1857).

Pemerintahan `Rajah Putih' berakhir dengan kedatangan tentera Jepun pada malam sebelum Krismas pada 1941, tetapi yang pasti pusaka peninggalan Brooke memberikan Kuching keistimewaan tersendiri hingga ke hari ini.

PUSAKA BROOKE MEMPUNYAI POTENSI PELANCONGAN

Dalam mengakui peninggalan Brooke perlu dipulihara bagi generasi masa depan lantaran potensi yang dimilikinya sebagai tarikan pelancong, Pertubuhan Warisan Sarawak (SHS) ditubuhkan baru-baru ini untuk memulihara serta menerokai potensi aset-aset warisan.

Buat permulaan SHS, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, sedang melaksanakan `Kuching Heritage Trails' ataupun Jejak Warisan Kuching dengan kerjasama Persatuan Arkitek Malaysia cawangan Sarawak.

Jejak warisan ini bukan sahaja satu produk pelancongan malah untuk mempromosi, memahami, menghargai dan memulihara sejarah kaya Sarawak.

"Bersama jejak warisan ini, kita sepatutnya boleh mengambil kesempatan daripada potensi dalam warisan binaan dan mengeksploitasinya bagi tujuan pelancongan sementara menampilkan sejarah unik negeri kita," kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Negeri Datuk Seri Wong Soon Koh semasa pelancaran SHS di sini.

SATU LALUAN WARISAN

Presiden SHS Datu Aloysius Dris menjelaskan jejak warisan itu yang digelar "Brooke Legacy Self Guided Tours" meliputi bangunan-bangunan yang memberi gambaran akan suasana semasa era Brooke, dan kesemuanya dalam jarak jalan kaki dalam presint sejarah itu di bahagian bandar lama kotaraya Kuching.

Jejak itu terbahagi kepada dua laluan, laluan pertama meliputi bahagian timur bandar lama Kuching sementara laluan kedua meliputi bahagian barat bandaraya itu.

Ia menawarkan penjelajahan istirahat antara satu dan tiga jam yang dibahagikan kepada pelbagai tarikan - daripada makanan, rempah ratus dan bangunan bersejarah serta khidmat pemandu pelancong terlatih dalam jejak warisan turut disediakan.

Dris menunjukkan bahawa jejak laluan pertama bermula di Bangunan Mahkamah Lama Kuching, iaitu bangunan pentadbiran pertama dalam era Brooke dengan semua urusan pentadbiran di bawah bumbungnya.

Kini ia merupakan Kompleks Pelancongan Sarawak, pembinaannya bermula pada pada 1868 dan ia contoh baik seni bina zaman itu.

Laluan itu seterusnya sampai ke tugu granit setinggi enam meter menghadap Dermaga Kuching, yang didiri dan ditauliahkan pada 1924 sebagai penghormatan kepada Rajah kedua, Charles Brooke, kerana sumbangannya serta dedikasi beliau kepada negeri.

Di setiap sudut terdapat satu panel gangsa dengan patung-patung mewakili masyarakat Cina, Iban, Melayu dan Kayan, mewakili kepelbagaian etnik di Sarawak.

BANGUNAN JEPUN KENANGAN WWII

Bangunan Jepun, satu-satunya bangunan pentadbiran yang didirikan oleh tentera Jepun di Sarawak semasa Perang Dunia Kedua (WWII) juga terletak dalam laluan itu.

Dris berkata tahanan perang dikerah menyiapkan bangunan itu yang menghalang laluan antara Jalan India dan Jalan Carpenter.

Satu lagi bangunan dalam laluan itu ialah Pavillion yang dibina oleh Jepun pada 1909. Ia berfungsi sebagai ibu pejabat propaganda Jepun tetapi selepas WWII ia diduduki oleh Jabatan Pendidikan sehingga 1970-an, sebelum ia diambilalih oleh Jabatan Kehakiman.

Disenaraikan sebagai bangunan bersejarah, ia dipulihara dengan baik dan kini digunakan oleh Jabatan Muzium untuk menempatkan Muzium Tekstil.

ROUND TOWER MENJADI TANDA TANYA

Selepas kebakaran besar pada 1884, yang memusnahkan kebanyakan bangunan antara Jalan Carpenter dan Bazaar Utama, `Round Tower' merupakan bangunan pertama dibina selepas kejadian itu dan disiapkan dua tahun kemudian.

Walaupun pada permulaan ia digunakan sebagai dispensari, lazimnya dipercayai ia pada asalnya dibina sebagai pos kawalan dan, mungkin, juga sebagai kubu pertahanan bagi pentadbir-pentadbir Brooke kerana lokasi strategiknya di tebing Sungai Sarawak.

Laluan itu juga merentasi Sungai Sarawak, dengan pelawat boleh melintas sungai itu menggunakan tambang (bot), ke Astana yang hari ini merupakan kediaman rasmi Gabenor Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Disiapkan pada 1870 sebagai kediaman Rajah Kedua Charles Brooke, ia sebenarnya hadiah perkahwinan kepada isterinya, Ranee Margaret, dan keluarga Brooke menghuninya sehingga Sir Charles Vyner Brooke meninggalkan Sarawak selepas pencerobohan tentera Jepun.

Laluan pertama juga meliputi bangunan Pejabat Pos (1932), Kuil Guan Thian Siang Ti (1889), Kuil Kueh Seng Onn (1895), Kuil Tua Pek Kong (pre-1839), Fort Margherita (1879), Bangunan Sarawak Steamship (1930) dan Dataran Segiempat (1879).

Sementara itu, laluan kedua meliputi Pasar Lama (1924-1959), Masjid India (1876), Balai Bomba Lama (1917), Limbungan Brooke (1912), Stesen Keretapi Lama dan Depot Penyenggaraan (1907) dan Balai Polis Central (1930).

Jejak Warisan Kuching pastinya mempesona pelawat dengan tarikan bersejarah dan menunjukkan kepada mereka pusaka peninggalan Rajah Putih.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels