Bernama.com
Rencana 31 Januari, 2007 11:41 AM
 
Urus Niaga Forex Haram: Mimpi Ngeri Yang Tiada Kesudahan


Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Lazimnya mereka tampak tampan, berpakaian kemas dan mempunyai imej korporat yang menarik selain daripada mengunjungi premis kelas atasan di ibu kota.

Mereka sering muncul dari pejabat-pejabat yang mempunyai pelbagai komputer canggih dan carta-carta yang menunjukkan data kewangan tempatan dan antarabangsa yang terkini.

Dengan penampilan yang cukup menarik, eksekutif-eksekutif muda yang dinamik ini, kebanyakan daripada mereka adalah para graduan universiti, sering mendapat perhatian daripada mereka yang sama generasi.

Setelah bertahun-tahun lamanya di universiti, profesional-profesional muda ini sudah tentu tidak sabar mengejar "emas di hujung pelangi" yang mungkin menjanjikan kehidupan mewah dan berprestij.

Tetapi semuanya tidak seindah yang diharapkan, seperti apa yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan baru-baru ini.

SATU PENIPUAN

Memetik laporan itu, dikatakan kebanyakan daripada eksekutif-eksekutif muda ini sebenarnya mangsa firma-firma yang menawarkan urus niaga mata wang asing (forex) secara haram.

Mereka ditawarkan gaji yang tinggi supaya mencari orang ramai untuk melabur dalam industri forex yang kononnya memberi pulangan yang "amat lumayan".

Di negara ini, hanya beberapa institusi kewangan seperti bank-bank komersil dan merkantil (perdagangan dan saudagar) dibenarkan mengambil deposit dan berurus niaga dalam tukaran mata wang asing.

Tetapi awas! Eksekutif-eksekutif muda ini perlu ada sekurang-kurangnya satu akaun sebelum boleh berurus niaga. Mereka dikehendaki mencari pelabur atau digalakkan membuka akaun sendiri untuk mendapat "pengalaman" dalam industri ini.

Kerana tidak sabar dan gelap mata bila memikirkan tentang potensi keuntungan yang mereka akan perolehi, eksekutif-eksekutif muda ini menggunakan sumber kewangan sendiri atau sanggup meminjam daripada keluarga dan kenalan sebelum menyedari mereka telah melakukan satu kesilapan yang besar.

"Ini hanya satu sandiwara dan telah wujud sekian lama, tetapi pihak umum terus hanyut dengan penipuan ini," demikian mengikut sumber yang enggan namanya disiarkan.

KOMODITI

Katanya, semuanya bermula beberapa dekad yang lalu ketika Bursa Komoditi Kuala Lumpur (KLCE) belum beroperasi. Melihat keuntungan daripada pasaran saham tempatan memang agak perlahan, orang ramai akan begitu mudah tertarik kepada urus niaga mata wang asing disebabkan "keuntungan" yang boleh dicapai dengan cepat, kononnya setiap hari.

Pernah terdapat satu syarikat besar yang memasuki Pasaran Hadapan Jepun khususnya dalam perniagaan komoditi seperti kacang merah dan koko. "Firma ini pernah beroperasi dari Komplek Nagaria, terletak berhadapan dengan Penjara Pudu".

Setelah "membakar" banyak akaun-akaun pelabur, firma itu telah tutup kedai, tetapi pengurus-pengurus kanannya pula telah membuka syarikat-syarikat lain. Setelah urus niaga komoditi mendapat nama busuk di kalangan pelabur, mereka dengan bijaknya memulakan urus niaga tukaran mata wang asing haram.

Ketika inilah orang ramai teruja dengan urus niaga dalam mata wang US Dollar, Swiss Francs, Deutschmark Jerman dan Yen Jepun.

"Pada lewat 70-an dan awal 80-an, urus niaga forex mula berkembang. Firma-firma forex haram ini beroperasi dari pejabat-pejabat korporat terletak di bangunan-bangunan besar seperti Bangunan MAS, Menara UBN, Plaza See Hoy Chan Plaza dan Menara Haw Par".

Kebanyakan firma-firma ini bertumpu sepanjang Jalan Sultan Ismail, pusat perniagaan korporat di kota raya ini.

"Modus operandi mereka ketika itu tetap sama, menjanjikan para graduan muda dengan bayaran komisen yang tinggi, setinggi RM50 untuk setiap lot yang diniagakan.

"Eksekutif-eksekutif ini, yang tidak ada latihan atau lesen, dijanjikan komisen yang lebih tinggi jika mereka mempunyai lebih lot dalam pasaran -- lebih banyak lot yang diniagakan, lebih banyak bayaran yang anda akan dapat".

Beliau berkata urus niaga biasanya diadakan pada waktu petang dan masa yang paling aktif ialah malam bila pasaran Eropah dan Amerika mula beroperasi.

KEPINCANGAN

Firma-firma ini banyak mengeksploitasi kelemahan-kelemahan yang ada pada undang-undang urus niaga mata wang dan komoditi pada masa itu.

"Para pelabur dikehendaki menandatangani perjanjian yang menyatakan urus niaga dijalankan oleh syarikat prinsipal di negara asing seperti Singapura, Hong Kong dan Australia.

Jadi para pelanggan sukar menjalankan tindakan undang-undang terhadap salahlaku syarikat ini, menurut sumber itu lagi.

"Firma-firma ini menyatakan tiada yang haram kerana urus niaga dijalankan di luar negara, bukan di Malaysia. Mereka juga membawa masuk rakyat Australia dan Hong Kong untuk memudahkan operasi mereka.

"Tapi mereka ini tiada permit kerja dan masuk dengan menggunakan permit lawatan sosial," jelas beliau lagi.

"Ombak besar" ini telah mengakibatkan rakyat Malaysia kerugian ratusan juta Ringgit sehingga pihak berkuasa melakukan operasi di seluruh negara pada awal tahun 90-an.

Kali ini mereka tidak dapat mengelak kerana undang-undang urus niaga tukaran wang asing, sekuriti dan komoditi telah diperketatkan.

BELAKANG PINTU

Mereka menghilangkan diri buat seketika sebelum timbul kembali di bandar-bandar luar ibu kota. Firma-firma ini muncul sebagai syarikat-syarikat Bumiputera yang menawarkan pulangan tetap untuk deposit tunai tetapi ini juga dapat dihidu oleh pihak berwajib.

Sekali lagi, rakyat Malaysia ditipu ratusan juta Ringgit bila timbul pula urus niaga Indeks Hang Seng yang dijalankan di Hong Kong.

"Mimpi ngeri ini akan terus berulang. Sebenarnya tiada urus niaga yang dijalankan. Semua arahan urus niaga sebenarnya hanya pergi ke "belakang pintu" dan dibenamkan di situ.

"Tiada syarikat prinsipal asing yang menguruskan perniagaan tersebut bagi pihak firma-firma Malaysia," kata beliau.

Itulah sebabnya mengapa akaun-akaun pelaburan dengan mudahnya "hangus" dalam pasaran sebab semuanya telah dirancang, tambahnya.

Mimpi ngeri ini hanya akan berakhir bila rakyat Malaysia tidak lagi menjadi begitu ghairah untuk cepat kaya dan para graduan muda tidak mudah diperdaya dengan iklan-iklan yang menjanjikan "bulan dan bintang".

-- BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels