Bernama.com
Rencana 18 Januari, 2007 14:25 PM
 
Panduan Kewangan Untuk Graduan Baru


Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Setiap tahun, beribu-ribu graduan baru memasuki pasaran kerja. Ini bermakna bermulanya sebuah kehidupan baru untuk mereka yang dijangka mencari pekerjaan dan nafkah hidup.

Memikirkan soal kewangan, aspek perancangan teliti amat diperlukan.

Justeru, bagi membantu para graduan menuju ke arah yang betul dalam perancangan kewangan mereka, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa panduan sebagaimana yang terkandung dalam buku panduannya,'Guidebook on Financial Planning'.

Panduan-panduan itu ialah:



KETAHUI STATUS KEWANGAN ANDA

Mulakan dengan mengetahui kedudukan kewangan sebaik sahaja anda mula menerima gaji dan berwaspada dengan komitmen kewangan yang anda perlu penuhi.

Senaraikan semua perkara yang anda berhutang, biasanya melibatkan pinjaman pendidikan. Jika anda mengambil pinjaman kerajaan, sama ada daripada PTPTN, yayasan negeri atau Jabatan Perkhidmatan Awam, ambil inisiatif untuk menghubungi mereka dan bertanyakan mengenai pelan pembayaran balik.

Ini adalah untuk mendapatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu anda selesaikan.

Kedua, senaraikan segala perbelanjaan yang anda jangkakan untuk membayar, termasuklah sewa rumah, bil telefon, bil-bil utiliti, pengangkutan dan makanan. Kemudian, senaraikan semua pendapatan yang anda jangka perolehi hasil kerja sampingan.

Gaji yang dibawa pulang merupakan baki selepas ditolak bayaran sumbangan EPF, SOCSO dan cukai pendapatan. Lebihan yang masih ada bolehlah disimpan dalam bank untuk kegunaan di waktu kecemasan.



WUJUDKAN SISTEM PENGURUSAN WANG

Dengan mengadakan satu catitan imbangan kewangan, anda boleh mewujudkan satu sistem untuk memantau kewangan anda. Sama ada anda ingin melabur dalam sebuah perisian pengurusan wang atau melakukannya secara konvensional dengan membuat catatan dalam buku nota atau diari.

Kebaikan menggunakan perisian pengurusan wang adalah, ia boleh membantu anda mencapai matlamat kewangan anda. Misalnya, perisian itu akan menentukan berapa banyak yang diperlukan anda untuk memperuntukkan setiap bulan dan tempoh yang anda perlukan untuk menyimpan bagi membayar balik ansuran sebuah kereta, contohnya.

Kebanyakan majikan mempunyai bank pilihan mereka sendiri untuk mendepositkan gaji bulanan pekerjanya. Jika syarikat atau majikan mempunyai lebih daripada sebuah bank untuk perkhidmatan itu, maka adalah bijak untuk memilih bank yang menawarkan kemudahan perbankan secara on-line.

Selain membayar bil secara on-line, anda juga dengan mudah dapat menjejaki perbelanjaan anda.



BERWASPADA MENGGUNAKAN KAD KREDIT

Berikutan pemasaran yang kompetitif, memiliki kad kredit menjadi mudah. Yang melayakkan anda untuk memilikinya hanyalah minimum pendapatan tahunan ialah RM18,000.

Tidak dinafikan, kad kredit adalah satu kemudahan dan barangkali diperlukan untuk sesetengah bentuk pembelian. Bagaimanapun, jika tidak dikendalikan dengan betul, ia akan menjadi faktor penyumbang utama bagi hutang peribadi.

Jika anda putuskan untuk memiliki kad kredit, selidiki kad kredit yang menawarkan terma-terma yang menarik dan pastikan anda memahami terma-terma itu.



DAPATKAN LIPUTAN INSURANS

Kebanyakan syarikat menawarkan polisi insurans sebagai satu faedah. Tentukan sama ada ia insurans hayat atau perubatan. Jika syarikat itu menawarkan hanya insurans hayat atau nyawa, misalnya, anda harus mula mencari insurans kesihatan yang akan memastikan anda terjamin dari segi perubatan.

Jenis insurans dan jumlah liputan bergantung kepada beberapa faktor. Jika anda bermula dengan keseorangan, polisi insurans nyawa yang mempunyai kos rendah adalah memadai. Tetapi jika anda sudah berumah tangga dan memikirkan pula untuk mendapat anak atau membeli rumah, maka anda perlu memikirkan pilihan yang lain.



PUTUSKAN DI MANA UNTUK MENETAP

Ini juga merupakan satu isu yang harus difikir secara teliti memandangkan keputusannya boleh memberi impak kepada kerjaya dan gaya hidup anda.

Graduan perakaunan yang ingin tinggal di Kuantan, misalnya, tidak perlu memikirkan untuk menyertai firma audit yang besar dan terkenal, memadai bekerja dengan firma kecil sahaja. Tetapi, jika ia bercita-cita tinggi untuk mendaki tangga korporat di bandar besar, maka mereka harus berpindah tempat tinggal.

Tinggal sendiri ada faedahnya seperti dapat hak kebersendirian dan bebas melakukan apa sahaja yang anda suka. Cuma, anda perlu bertanggungjawab membayar segala keperluan seperti bil-bil utiliti, sewa rumah dan makanan, berbeza dengan tinggal bersama keluarga, di mana segala-galanya terurus.

Satu cara untuk mengurangkan perbelanjaan seisi rumah ialah dengan berkongsi kos dengan teman serumah walaupun ia boleh melanggar hak kebersendirian.



FIKIR MASAK-MASAK SEBELUM MEMBELI KERETA

Sebelum membeli sebuah kereta, pertimbangkan dahulu keupayaan kewangan anda untuk membayar wang pendahuluan dan ansuran bulanan. Sememangnya memiliki sebuah kereta merupakan satu kemudahan.

Sebuah kereta terpakai yang boleh dipercayai keupayaannya sudah memadai untuk memenuhi tujuan itu dan seharusnya ia tidak membebankan kewangan anda.

Berhati-hati mengenai kos tambahan seperti penyelenggaraan yang biasanya menelan lebih belanja untuk kereta terpakai.



MULAKAN SIMPANAN PADA AWAL LAGI

Waktu merupakan elemen penting dalam menjadikan simpanan sederhana kepada pengumpulan kekayaan yang signifikan. Katakan, jika kita mula membuat simpanan pada awal lagi, ketika usia baru mencecah 25 dengan mengetepikan RM167 setiap bulan dengan pulangan tahunan sebanyak 11 peratus, bayangkan apa yang diraih selepas 40 tahun kemudian. Tidakkah ia akan meningkat kepada RM1.2 juta. Betapa indahnya zaman persaraan jika memiliki wang sebanyak itu.

Sekarang, bayangkan pula jika kita mulakan simpanan pada usia lewat iaitu 45 tahun. Memandangkan kita mahu mengejar waktu, maka kita menggandakan simpanan kita menjadikan RM334 setiap bulan. Selepas 20 tahun menyimpan, ia akan berakhir dengan RM285,000.

Dalam setiap kes itu, kita telah melabur RM80,000. Jelaslah, membuat tabungan atau simpanan awal biarpun dalam jumlah yang sedikit mampu membuat perbezaan dalam kehidupan anda.

Pendek kata, jika anda mulakan tabungan pada usia awal dan dengan kerap, elak hutang kad kredit dan hemat berbelanja, anda akan menuju kehidupan ke arah kebebasan kewangan.

Sentiasa berwaspada terhadap kewangan individu untuk mengelak sebarang masalah kewangan disebabkan kejahilan.

-- BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels