Bernama.com
Am 10 Januari, 2007 20:31 PM
 
Pemaju Projek Pavillion Diarah Henti Kerja Serta Merta



RUNTUH... Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (dua, kiri) memeriksa sebahagian besi perancah yang runtuh semasa melawat ke tapak pembinaan kompleks membeli-belah The Pavillion Kuala Lumpur. Foto: Zainol Bidin

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pemaju projek kompleks membeli-belah The Pavillion Kuala Lumpur di Jalan Bukit Bintang di sini telah diarah menghentikan kerja pembinaan serta merta sehingga satu laporan lengkap disediakan berikutan kemalangan yang melibatkan kematian dua buruh binaan di tapak pembinaan itu hari Rabu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn berkata siasatan menyeluruh terhadap kejadian di projek yang dikendalikan oleh Putra Perdana Construction Sdb Bhd itu perlu dibuat bagi mengelak kejadian serupa berulang.

"Sementara siasatan dijalankan, semua kerja pembinaan dihentikan," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian petang Rabu.

Dalam kejadian 11 pagi Rabu, dua pekerja terbunuh dan 10 lagi cedera apabila dua perancah yang mereka naiki terjatuh dari ketinggian 15 meter. Projek itu terletak di kawasan komersil segitiga emas ibu kota.

Yang terbunuh dikenal pasti rakyat tempatan Liew Wan Chew, 52, dari Ampang Tasik Tambahan dan warga Myanmar, Hram Uk, 25.

Daripada 10 yang cedera hanya tiga yang telah dikenal pasti iaitu Amandeeb Singh, 20, Jarnail Singh, 28, dan Rahtuv Singh, 22, kesemuanya dari India.

Fong berkata siasatan juga dapat mengenal pasti sama ada terdapat unsur kecuaian dan pengabaian tahap keselamatan di tapak pembinaan oleh pihak pemaju.

"Ini kemalangan maut kedua di tempat yang sama dalam tempoh lima bulan melibatkan perancah dan tindakan sewajarnya akan diambil jika ada terdapat unsur-unsur kecuaian," katanya.

Pada Ogos tahun lalu di projek yang sama seorang pekerja maut apabila kayu yang diangkut menggunakan perancah jatuh menimpa kepalanya.

Fong berkata bahawa dalam kejadian pagi ini, perancah yang dinaiki oleh tujuh pekerja di tingkat tiga roboh lalu menghempap perancah di tingkat dua yang dinaiki lima pekerja.

Katanya perancah itu turut membawa muatan jubin yang dipercayai melebihi kemampuan muatan.

"Kita sedang siasat berapa berat yang dibawa oleh mereka, tetapi bagi setiap perancah berat yang sepatutnya ialah 50 kilogram," kata Fong.

Mengikut rekod kementerian, sebanyak 17 maut melibatkan perancah dilaporkan di tapak pembinaan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lepas.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels