Bernama.com
Am 03 Januari, 2007 16:19 PM
 
Lelaki Mengaku Nabi Dibenar Mohon Cabar Undang-undang Jenayah Syariah


PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan seorang lelaki, yang menghadapi tuduhan mendakwa dirinya nabi dan menghina ajaran Islam, mencabar beberapa peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Abdul Kahar Ahmad, 56, dari Kampung Kemensah, Ampang, diberi tempoh 60 hari mulai hari ini untuk memfailkan petisyennya itu.

Dia memohon perisytiharan bahawa seksyen-seksyen 7, 8(a), 10(b), 12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 terbatal dan melanggar Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Kahar menamakan kerajaan Selangor sebagai responden.

Peguamnya Malik Imtiaz Sarwar berkata tuduhan terhadap Abdul Kahar kononnya dia menyebarkan ajaran salah, menghina dan melanggar ajaran Islam dan bertindak menyalahi fatwa dan Mufti, bukannya kesalahan mengikut ajaran Islam.

Pada 17 Ogos 2005, Abdul Kahar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam terhadap lima tuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Dia dibenarkan ikat jamin RM8,000.

Pengikutnya, Mazli Mansor, 48, dan Mat Razali, 43, juga mengemukakan permohonan serupa bagi mencabar kesahihan seksyen-seksyen 8(a) dan 16(1)(a) enakmen berkenaan. Kedua-duanya turut didakwa mengikut seksyen-seksyen itu.

Dalam afidavit mereka, Abdul Kahar dan Mazli berkata hanya Parlimen diberi kuasa menggubal undang-undang jenayah, dan oleh itu, Dewan Undangan Negeri Selangor tidak ada kuasa membuat peruntukan berkenaan kerana masing-masingnya merupakan peruntukan undang-undang jenayah.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim juga membenarkan kerajaan Malaysia mencampuri prosiding berkenaan.

Kerajaan Selangor diwakili Penasihat Undang-undang Negeri Datuk Zauyah Be Loth Khan manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi mewakili kerajaan.

--BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels