| Rela Dikritik Tapi Mestilah Membina - Najib |
|
KUANTAN, 25 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata akhbar boleh berperanan sebagai pengkritik kerajaan, bagaimanapun kritikan itu mestilah secara bertanggungjawab dan membina.
Katanya, apa yang penting, nawaitu dan tujuan pihak akhbar mestilah ikhlas dalam mengenengahkan sesuatu isu atau perkara.
"Akhbar juga boleh mengkritik tapi mestilah penuh tanggungjawab dengan nawaitu untuk membina, pihak yang ditegur itu boleh menerima dengan positif.
"Kita sebagai pemimpin, sebagai manusia biasa pun, kalau tidak ada pihak yang sanggup menegur kita, mungkin kita akan terbawa-bawa dengan kedudukan kita," katanya ketika berucap melancarkan akhbar Kosmo! peringkat negeri Pahang di sini Sabtu.
"Dalam sistem demokrasi, kita (kerajaan) tahu rakyat pada kesudahannya akan menentukan untung nasib kita, jadi lebih baik kita tahu dari awal lagi, lebih baik memperbaiki segala kelemahan kita daripada kita ditolak oleh rakyat," kata Najib.
Najib juga mengingatkan agar media memainkan peranan penting bagi memupuk minda berkualiti selaras dengan arus globalisasi dengan menyediakan kandungan bacaan yang lebih intelektual.
Sementara itu ketika bercakap kepada pemberita, Najib berkata syarikat akhbar tidak seharusnya memberi keutamaan kepada pengedaran semata-mata sebaliknya berperanan secara holistik dalam menyajikan bahan agar dapat menjana dan memacu minda masyarakat Malaysia dengan pengisian yang membina.
"Kita tidak ingin melihat satu aspek atau satu dimensi sahaja tetapi mesti melihat secara keseluruhannya.
"Media juga boleh mengeluarkan atau membuat teguran yang konstruktif kerana kita (kerajaan) dapat memperbaiki kelemahan sebelum terlambat," katanya.
Ketika ditanya sama ada media kini perlu lebih terbuka berikutan rakyat semakin mudah memperolehi maklumat lain seperti dari Internet misalnya, Najib berkata: "Saya lihat media memang memainkan peranan yang seimbang sebab kita tidak boleh bandingkan dengan alternatif media seperti Internet kerana Internet langsung tidak ada kawalan."
-- BERNAMA
|
|
|