Bernama.com
Am 11 Oktober, 2006 12:48 PM
 
Bekas Penyanyi Kumpulan Freedom Seha Meninggal Dunia Akibat Kanser


KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Bekas penyanyi kumpulan Freedom Norsehah Abu Bakar atau lebih dikenali dengan Seha, 44, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur di sini pada pukul 8.30 pagi ini kerana kanser paru-paru.

Suami beliau, Azmi Tambi Chik, berkata Seha dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur tiga hari lepas untuk sesi kimoterapinya yang ketiga.

"Dia kelihatan letih sejak kimoterapi. Semalam Seha asyik tidur sahaja, dia bangun hanya untuk makan tengah hari dan minum petang. Lepas itu dia tidur balik kerana letih sangat. Saya tinggalkan dia pukul 5 petang semalam," katanya kepada pemberita di rumah mayat hospital itu.

Azmi, 41, yang berkahwin dengan Seha tiga tahun lepas, berkata seorang petugas hospital menelefon beliau pada pukul 8 pagi ini memberitahu bahawa Seha dalam keadan kritikal.

"Saya sampai pukul 8.20 pagi dan arwah hanya bergantung kepada mesin bantuan hayat. Dia meninggal dunia pada pukul 8.30," katanya.

Katanya mereka memang ada rancangan untuk pulang ke kampung Seha di Air Putih, Kuantan, pada hari raya ketiga dan keempat.

Menurut sepupu Seha, Roslan Ali, 53, beliau menerima panggilan telefon dua hari lepas daripada adik-beradiknya mengatakan Seha berada dalam keadaan tidak stabil.

"Semalam keadaannya semakin teruk. Kami memang tidak sangka dia akan pergi," katanya.

Roslan berkata Seha telah membuat beberapa persiapan seperti menempah bilik hotel di Kuantan untuk pulang berhari raya.

Seha mempunyai seorang anak lelaki berusia 14 tahun dan seorang anak perempuan berumur 10 tahun hasil perkahwinan pertamanya.

Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas Ampang selepas solat Zuhur.

Shuaib Shaari, 48, yang merupakan rakan duet Seha dalam kumpulan Freedom, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Seha ialah sebelum bulan puasa di Wad Onkologi Hospital Kuala Lumpur.

"Ketika melawat dia nampak okey. Masih boleh cakap dan kelihatan gembira dan dia tak nampak sakit," katanya.

Seha telah bersama kumpulan Freedom selama tujuh tahun sejak penubuhannya dan, bersama Shuaib, popular dengan lagu seperti Mulanya Di Sini dan Persamaan.

Shuaib menyifatkan Seha sebagai seorang yang periang, senang didekati, penghibur yang bagus serta mahir memilih lagu yang boleh membangkitkan semangat penonton ketika mengadakan konsert.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels