Bernama.com
Am 21 Ogos, 2006 20:50 PM
 
Abdullah Deklamasi Puisi Sempena Kemerdekaan


PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mendeklamasikan puisi dalam Pesta Puisi Patriotik kali ke-7 di Kelab Tasik Putrajaya, di sini pada 29 Ogos depan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman berkata Perdana Menteri akan mendeklamasikan puisi bersama-sama beberapa kenamaan lain, sasterawan, ahli korporat dan penyair terkemuka pada malam berkenaan.

Jemputan lain yang diundang mendeklamasikan puisi termasuk Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan timbalannya Datuk Wong Kam Hoong, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran P. Komala Devi, ahli akademik Prof Datuk Dr Firdaus Abdullah dan Sasterawan Negara Kamaluddin Muhammad (Keris Mas).

Beliau berkata program pesta puisi itu akan ditayangkan secara langsung oleh RTM 1 pada 9 malam.

Katanya sebelum itu, Abdullah dijadual merasmikan Pameran Lukisan Cat Air Kebangsaan Putrajaya 2006 pada 27 Ogos di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur yang akan berlangsung selama sebulan dan mempamerkan 200 lukisan cat air.

Samsudin yang juga Presiden Perbadanan Putrajaya berkata sempena pameran itu, pertandingan lukisan cat warna akan diadakan dengan menawarkan hadiah wang berjumlah RM39,000.

Perbadanan Putrajaya menyediakan 13 acara sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan 2006 iaitu Kejohanan Kanu Kebangsaan Putrajaya dan MAKSAK 2006, majlis bacaan tahlil sempena Hari Kemerdekaan, program Ambang Kemerdekaan dan pertunjukan bunga api, Malam Gurindam Warisan, acara menaiki bot pesiaran menanti detik 12 malam dan jamuan malam kemerdekaan dalam bot persiaran.

Acara lain ialah pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan mencari harta berbasikal, latihan aerobik agro, pertandingan akhir Nada Warisan Patriotik, pertandingan Maraton Antarabangsa Putrajaya 2006 dan pertandingan memancing Putrajaya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels