Bernama.com
Am 24 Julai, 2006 16:20 PM
 
JPA Perkenal Biasiswa Yang Di-pertuan Agong Utk Sarjana & Ph.D


KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini membuka tawaran untuk program penajaan baru dikenali sebagai Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran (Ph.D).

Jabatan itu dalam satu kenyataan Isnin menyebut sebanyak 10 tawaran dibuka iaitu lima untuk setiap peringkat pengajian yang boleh dilakukan di universiti dalam dan luar negara.

Berbanding penajaan lain, penerima biasiswa ini tidak terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan tetapi boleh memilih sama ada untuk bekerja di sektor awam atau swasta asalkan di dalam negara.

"Oleh itu penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong yang telah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke tanah air," kata jabatan itu.

Selain itu, pakej penajaan ini juga menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa persekutuan sedia ada di samping turut menerima elaun-elaun lain serta yuran pengajian berkaitan yang dibayar secara terus kepada universiti.

Tawaran biasiswa ini dibuka kepada warganegara Malaysia yang berusia tidak lebih 30 tahun semasa memulakan pengajian, dengan keutamaan diberi kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana.

Penguasaan pelbagai bahasa juga satu kelebihan di samping aktif dalam kegiatan kokurikulum atau aktiviti kemasyarakatan, dan mendapat tempat pengajian di universiti yang terkemuka atau yang diiktiraf JPA.

Borang permohonan boleh dimuat turun melalui portal www.jpa.gov.my atau www://esila.jpa.gov.

Tarikh tutup permohonan ialah 1 Sept ini.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-88853419 atau mengunjungi kaunter Bahagian Latihan sempena Program JPA Bersama Pelanggan pada 28 Julai ini, bermula 8 pagi hingga 1 petang di Aras Lobi, Blok C2, Parcel C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels