Bernama.com
Am 26 Mei, 2006 14:38 PM
 
Anggota Kabinet Sarawak Angkat Sumpah Jawatan


KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Sebanyak 24 anggota Dewan Undangan Negeri mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Kabinet dan Menteri Muda Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri di Petra Jaya dekat sini hari Jumaat.

Anggota Dewan Undangan Negeri itu mengangkat sumpah untuk memegang jawatan yang sama seperti senarai Kabinet negeri sebelum pilihan raya negeri pada Sabtu lepas.

Mendahului upacara itu ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk William Mawan sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.

Dr Chan juga ialah Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Infrastruktur sementara Jabu memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi serta juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Menteri Kabinet lain yang mengangkat sumpah jawatan ialah Datuk Seri Abang Johari Tun Openg sebagai Menteri Perumahan, Datuk Seri Wong Soon Koh sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Datuk Michael Manyin sebagai Menteri Alam sekitar dan kesihatan Awam dan Datuk Awang Tengah Ali Hassan sebagai Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber dan Menteri Kemudahan Awam.

Seramai 16 anggota Dewan Undangan Negeri lain, yang juga Menteri Muda mengangkat sumpah jawatan, mereka ialah Datuk Ambrose Blikau Enturan, Datuk David Teng Lung Chi, Datuk Gramong Juna, Dublin Unting Ingkot, Bolhassan Di, Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Datuk Peter Nyarok Entrie, Dr Soon Choon Teck, Francis Harden Hollis, Hamden Ahmad, Lee Kim Shin, Sylvester Entri Muran, Datuk Daud Abdul Rahman, Naroden Majais, Larry Sng dan Fatimah Abdullah.

Blikau ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Kemudahan Awam, Teng ialah Menteri Muda Industri Makanan dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Juna ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Unting ialah Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Penyelarasan) dan Menteri Muda Sukan.

Dr Abang Abdul Rauf ialah Menteri Muda Alam Sekitar, Nyarok ialah Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Pertanian dan Kerjasama), Dr Soon ialah Menteri Muda Perumahan, Harden ialah Menteri Muda Pembangunan Tanah.

Hamden ialah Menteri Muda Hal Ehwal Belia dan Menteri Muda Pelancongan, Lee ialah Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, Entri ialah Menteri Muda Bekalan Air.

Lima Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri ialah Bolhassan yang juga menjaga Teknologi Maklumat dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, Daud menjaga portfolio Hal Ehwal Islam dan Menteri Muda Pembangunan Industri (Galakan dan Pembangunan Ladang Industri).

Naroden memegang portfolio Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah, Sng menjaga portfolio Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri (Perancangan) dan Fatimah menjaga portfolio Sumber Manusia dan Latihan dan juga Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Dalam Negeri dan Latihan)

Upacara mengangkat sumpah itu juga disaksikan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga mengangkat sumpah jawatan kali ketujuh bagi penggal berturut-turut, pada hari ulang tahun beliau ke-70 dan sehari selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada pilihan raya negeri ke-sembilan, Ahad lepas.

Taib, juga ialah Menteri Kewangan serta Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber.

Turut hadir pada upacara itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri, Hajah Norkiah.

Taib, yang mengekalkan senarai Kabinet yang sama sebelum pilihan raya baru-baru ini, yang ditubuhkan pada 1 Julai, 2004 dijangka mengumumkan senarai penuh Kabinet negeri untuk memenuhi mana-mana jawatan yang belum diisi, sebelum Persidnagan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pertengahan bulan depan.

Menteri dan Menteri Muda boleh memegang lebih daripada satu portfolio. Pelantikan menteri penuh dan menteri muda adalah prerogatif Ketua Menteri.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Taib berkata terdapat sedikit perubahan pada senarai Kabinet negeri pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya beliau belum lagi memikirkan mengenai perubahan itu.

Ditanya mengenai kemungkinan lebih ramai menteri wanita akan dilantik, beliau berkata: Kita lihat. Saya belum habis memikirkannya. Saya tidak mahu memberikan anda maklumat sedikit demi sedikit."

Taib berkata senarai Kabinet sekarang yang memegang jawatan sama kerana ia adalah dalam peralihan penubuhannya.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, 71 kerusi telah dipertandingkan. Pilihan raya itu menyaksikan tambahan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri, menjadikannya dewan undangan negeri yang paling besar di negara ini.

BN, seperti yang dijangkakan, kembali berkuasa di Sarawak dengan memenangi 62 daripada 71 kerusi tetapi pembangkang memperluaskan pengaruhnya dengan memenangi sembilan kerusi, kebanyakan di kawasan yang ditandingi parti berasaskan Cina, SUPP yang menyaksikan kekalahan paling teruk dalam mana-mana pilihan raya.

DAP memenangi enam kerusi sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Nasional Sarawak (SNAP) masing-masing memenangi satu kerusi. Satu kerusi diperoleh bebas.

Anggota pentadbiran yang ditewaskan oleh lawannnya ialah Setiausaha agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Urbanisasi, Penerangan dan Awam, setiausaha Datuk Alfred Yap yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Bandar) serta Menteri Muda Pembangunan Bandar.

Sim ditewaskan di Pending sementara Yap di Kota Sentosa, kedua-duanya oleh DAP.

Sementara itu, Dr Chan berkata beliau telah mengemukakan satu senarai nama kepada Ketua Menteri untuk mengisi dua jawatan kosong Menteri Muda yang dipegang oleh SUPP.

"Saya telah mengemukakan nama-nama itu untuk menggantikan dua menteri muda itu. Terpulanglah kepada Ketua Menteri untuk memutuskannya. Tunggu dan lihat," kata beliau.

Dalam senarai Kabinet sebelum pilihan raya negeri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di mana Taib adalah presidennya mempunyai lima menteri penuh dan sembilan menteri muda, SUPP mempunyai dua menteri penuh dan enam menteri muda SPDP mempunyai seorang menteri penuh dan dua menteri muda dan PRS mempunyai seorang menteri penuh dan dua menteri muda.

Seorang menteri muda dari PBB, Menteri Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi, tidak bertanding. Jawatan menteri muda di Jabatan Ketua Menteri (pemerhati untuk perkara keselamatan) dan Menteri Muda Kesihatan Awam kosong berikutan kematian Dr Judson Sakai Tagal pada satu tragedi nahas helikopter di Ba'Kelalan pada Julai, 2004.

PBB, SUPP, PRS serta SPDP adalah parti komponen BN Sarawak.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels