Bernama.com
Am 21 April, 2006 23:35 PM
 
Wanita Dilantik Timbalan Ketua Polis Melaka


KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Seorang wanita dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Melaka dalam pertukaran jawatan pegawai kanan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia.

ACP Zaleha Abd Rahman dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka dengan memangku pangkat SAC II. Sebelum ini beliau memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Teknologi Maklumat), Bukit Aman.

Tempat beliau diambilalih oleh Ketua Unit Data Makmal Forensik Bukit Aman Supt Kasim Karim dengan memangku pangkat ACP.

Kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini menyebut bahawa pertukaran itu berkuatkuasa apabila pegawai berkenaan melaporkan diri.

Ketua Polis Pahang DCP Datuk Ramli Yusuff pula dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan memangku pangkat CP.

Ketua Polis Kuala Lumpur DCP Datuk Mustafa Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, dengan memangku pangkat CP dan tempatnya diganti oleh Datuk Sulaiman Mohd Yusof yang dahulunya Timbalan Pengarah 1, JSJK Bukit Aman.

Tempat Sulaiman diambilalih oleh Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, SAC I Datuk Nyomek Nyeap yang memangku pangkat DCP manakala jawatan Komandan Maktab PDRM pula diambilalih oleh Timbalan Ketua Polis Melaka SAC II Benjamin Hasbie yang memangku pangkat SAC I.

Ketua Polis Melaka SAC I Datuk Ayob Mohamed dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah 1 (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP manakala tempatnya diganti oleh Komandan Pulapol Kuala Lumpur SAC II Ayub Yaakob dengan memangku pangkat SAC 1.

Komandan Pulapol Kuala Lumpur pula diambilalih oleh Ketua Jabatan Pengurusan Pulau Pinang ACP Asri Yusoff dengan memangku pangkat SAC I dan tempatnya diambilalih oleh Supt Zohdi Hanafiah dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Mohd Rodzi Ismail dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Sentul dengan memangku pangkat ACP manakala Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur SAC II Mohd Mokhtar Shariff pula dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat SAC I.

Supt Abd. Radzak Abd Ghani dari Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan Bukit Aman dinaikkan pangkat sebagai Penolog Pengarah Logistik (Kewangan) Jabatan Logistik Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels