Bernama.com
Am 04 April, 2006 23:27 PM
 
Tun Ghafar Dianugerah Tokoh Sukan 2005


PETALING JAYA, 4 April (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghaffar Baba, yang pernah menjadi caddie hingga meningkat ke tahap mereka bentuk tiga padang golf terkemuka di negara ini, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Sukan dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2005 di sini hari Selasa.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail kepada anaknya Tamrin, kerana Ghafar, 81, masih dirawat di Pusat Perubatan Gleneagles Intan di sini.

Ghafar, yang memegang handicap 8 pada sukan golf, turut aktif dalam pelbagai jenis sukan yang lain dan telah banyak menyumbang kepada pembangunan sukan tenis.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia dari tahun 1984 hingga 1996, adalah pengasas perlawanan tenis antarabangsa untuk negara di rantau Asia, iaitu Kejohanan Tenis Piala Ghafar.

Piala bernilai RM100,000 itu diperbuat daripada emas telah ditempah di London pada tahun 1978 dan diderma oleh beliau.

Ghafar yang pernah menjadi presiden Asian Tenis Circuit Council, mula didedahkan kepada permainan itu semasa zaman kanak-kanaknya bila beliau bekerja sebagai pemugut bola tenis di Kuala Pilah pada tahun 1930an.

Beliau pernah menjadi pemungut bola tenis kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad pada tahun 1934, dan 25 tahun kemudian beliau bertemu kembali Tuanku Abdul Rahman yang pada masa itu Yang di-Pertuan Agong pertama di Istana Negara. Pada masa itu, Ghafar adalah Ketua Menteri Melaka yang pertama.

Ghafar yang dilahirkan pada 18 Feb, 1925, tidak menjadikan kemiskinan penghalang untuknya melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Malah semasa menuntut di Sultan Idris Training College, (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris) beliau adalah satu-satunya pemain bola yang berkaki ayam, kerana tidak mampu untuk membeli kasut bola.

Ghafar juga pernah menjadi Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dalam tahun 1995.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels