Bernama.com
Am 14 Januari, 2006 19:08 PM
 
Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah Lebih Banyak Bawa Keburukan


KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar sekolah memberi lebih banyak kesan buruk berbanding kesan positif kepada pelajar serta persekitaran pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Fatimah Abdullah.

Sambil menegaskan satu peraturan yang jelas dalam pelaksanaan kebenaran menggunakan telefon bimbit di sekolah perlu digubal, beliau berkata penggunaan telefon bimbit yang dapat memudahkan ibu bapa berkomunikasi dengan pelajar, akan memberi kesan kepada persekitaran pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas boleh terganggu jika pelajar menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau permainan dalam telefon, bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada pelajar lain.

"Jika perbuatan itu ditangkap oleh guru, pengajaran dan pembelajaran seluruh kelas akan terganggu kerana guru perlu mengambil tindakan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis taklimat Pembangunan Pertanian Sarawak di Stesen Perikanan Semariang Batu di sini hari Sabtu.

Selain itu, ia juga boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat di kalangan pelajar untuk memiliki telefon bimbit yang terkini dan canggih.

Fatimah yang diminta mengulas kenyataan Kementerian Pelajaran yang membenarkan penggunaan telefon bimbit di sekolah, berkata langkah itu mewujudkan persaingan tidak sihat di samping membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk melayani kehendak anak-anak untuk memiliki telefon bimbit seperti rakan mereka yang mampu.

"Ia akan menimbulkan masalah ketidakseragaman dalam sekolah. Ada perbezaan sosial antara pelajar miskin dan yang kaya. Itu sebabnya kita ada penggunaan pakaian seragam di sekolah supaya ada keseragaman," katanya.

Selain itu, katanya kejadian kecurian telefon bimbit juga boleh berlaku apabila seseorang pelajar itu tidak mampu membelinya.

Dari segi pelaksanaan penggunaan telefon bimbit di sekolah walaupun dibenarkan Kementerian Pelajaran, pentadbiran sekolah perlu berbincang dengan ibu bapa dan mengadakan peraturan yang jelas mengenainya.

"Pastikan pelajar itu sendiri memahami peraturan yang harus dipatuhi apabila menggunakan telefon bimbit di sekolah. Fahami tujuan utama penggunaannya," katanya.

Fatimah berkata pelajar merupakan golongan yang belum matang fikirannya dan telefon bimbit yang merupakan keperluan masa kini boleh disalah guna untuk pelbagai tujuan lain.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels