Bernama.com
Am 11 Januari, 2006 19:16 PM
 
Istiadat Persandingan Tunku Bendahara Johor Sabtu



Tunku Teh Mazni Tunku Yusuf

JOHOR BAHARU, 11 Jan (Bernama) -- Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Ibni Sultan Iskandar dan pasangannya Tunku Teh Mazni Tunku Yusuf, akan bersanding di perkarangan Istana Besar, Sabtu ini mengikut adat istiadat Diraja Johor.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Abu Bakar Almarhum Tunku Abdul Rahman berkata istiadat perkahwinan Diraja itu akan berlangsung selama empat hari mulai Khamis ini dimulakan dengan majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Baharu, pada 6.30 petang.

Tunku Abu Bakar berkata demikian menerusi satu kenyataan yang mengumumkan bahawa baginda Sultan Johor dan Sultanah Johor telah berkenan dengan perkahwinan Tunku Bendahara Johor dengan Tunku Teh Mazni.

Beliau berkata istiadat pertunangan dan hantaran serta akad nikah pula akan berlangsung pada pukul 2.30 petang, Jumaat, diikuti istiadat persandingan pada pukul 8 malam Sabtu serta istiadat bersiram pada pukul 3 petang keesokannya, katanya.

Menurut kenyataan Jumaah Majlis Diraja Johor itu, Sultan Johor berkenan menjemput 2,800 jemputan untuk Istiadat Persandingan Pengantin Diraja, yang terdiri daripada kerabat Diraja Johor, pembesar-pembesar negeri dan wakil masyarakat.

Antara jemputan kenamaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Singapura Brig Jen Lee Hsien Loong dan beberapa menteri kabinet Malaysia serta Singapura.

Tunku Bendahara Johor, putera kedua Sultan Johor, yang dilahirkan pada 20 Julai 1970 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, berkenalan dengan Tunku Teh Mazni enam tahun lalu sebelum melamarnya Oktober lepas.

Tunku Abu Bakar berkata berikutan itu, istiadat merisik oleh rombongan Diraja yang diketuai beliau sendiri berangkat ke Kota Baharu 13 Dis lepas untuk mendapatkan restu ayahanda serta bonda Tunku Teh Mazni.

"Alhamdulillah, ayahanda (Tunku Yusuf Tunku Md Jewa) dan bonda (Tengku Embon Suria Tunku Abdul Majid) memberi restu supaya Tunku Teh Mazni dijadikan isteri kepada Tunku Abdul Majid, Tunku Bendahara Johor," katanya.

Bapa Tunku Teh, Tunku Yusuf merupakan keluarga Diraja Kedah manakala bondanya daripada keluarga Diraja Kelantan.

Tunku Abdul Majid memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Temenggong Abdul Rahman, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abu Bakar dan melanjutkan pelajaran tinggi dalam bidang pengurusan perniagaan di MENLO College, Paulo Alto, San Francisco, Amerika Syarikat.

Tunku Abdul Majid bergiat cergas dalam bidang sukan terutama golf, luncur angin, hoki, polo, motosikal, basikal, kayak dan menyelam dan mewakili negara dalam sukan luncur angin dari 1982 hingga 1987 selain memenangi banyak acara sukan itu di peringkat Asia Tenggara.

Baginda juga merupakan pemain hoki negeri dan membantu Johor memenangi Piala Razak pada 1988.

Tunku Bendahara Johor yang juga Presiden Persatuan Hoki Johor mahu memperkenal serta meningkatkan sukan hoki di kalangan belia Johor.

Sementara itu, Tunku Teh Mazni diputerikan pada 2 April, 1976 di Kota Baharu dan memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab II, Kota Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Baharu.

Tunku Teh Mazni kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Monash, Australia dalam bidang sosiologi dan tamat pengajian pada 1998.

Selepas tamat pengajiannya, beliau berkhidmat sebagai pegawai komunikasi korporat, hubungan media dan hubungan pelabur dalam beberapa syarikat ternama negara.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels