Bernama.com
Am 22 Ogos, 2005 21:29 PM
 
Objektif Wawasan 2020 Kekal, Strategi Disesuaikan



Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Isnin berkata segala dasar berkaitan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020 tidak akan berubah.

Perdana Menteri sebaliknya berkata penyesuaian perlu dibuat terhadap strategi untuk mencapai matlamat itu dengan mengambil kira perkembangan situasi semasa.

"(Persoalannya ialah) macam mana nak mencapainya. Matlamat dah tetap dah. Hendak mencapainya kita kena ambil kira situasi yang ada pada waktu ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2004 kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini.

Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, ditanya sama ada semakan akan dibuat terhadap objektif Wawasan 2020 yang diilhamkan di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdullah mengumpamakan usaha mencapai sasaran wawasan itu seperti permainan bola sepak yang memerlukan percaturan strategi bagaimana hendak menang.

Macam main bola, selalunya sesebuah pasukan nak menang. Tak pernah ada review tentang soal nak menang. Tapi cara nak menang, cara nak main, kena tengoklah situasi. Kalau hari hujan macam mana, kalau padang kering macam mana nak main, katanya.

Minggu lepas, beliau mempengerusikan mesyuarat dua hari panel penasihat antarabangsa bertujuan membantu Malaysia mengolah strategi pembangunannya ketika negara memasuki fasa kedua pelaksanaan Wawasan 2020.

Para anggota panel yang terdiri daripada pakar di bidang kewangan, ekonomi dan sains politik, antara lain, berkata negara berada pada landasan yang betul dalam menuju ke arah status negara maju menjelang 2020.

Terdahulu, dalam ucapannya pada Isnin, Abdullah berkata pembangunan modal insan perlu diberikan penekanan untuk melahirkan perkhidmatan awam yang benar-benar berkualiti.

Menurutnya, ia bukan sahaja meliputi aspek meningkatkan ilmu yang ada hubung kait dengan tugasan seharian tetapi juga keseluruhan peribadi seseorang.

Seseorang kakitangan awam itu perlu berpekerti mulia, mempunyai tahap amanah yang tinggi, boleh dipercayai, rajin bekerja, ikhlas dan sihat, dan menambah kata persekitaran tempat kerja yang baik dengan peralatan mencukupi juga penting dalam menjamin perkhidmatan yang memuaskan kepada orang ramai.

Abdullah juga menyebut tentang keperluan diramaikan pegawai peringkat bawahan yang boleh membuat keputusan bagi memastikan tidak berlaku kelewatan dalam meluluskan apa-apa keputusan mengenai sesuatu urusan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels