Bernama.com
Am 14 Ogos, 2005 20:56 PM
 
Skim Simpanan Pendidikan Nasional Kini Ada Simpanan RM6.2 Juta


JITRA, 14 Ogos (Bernama) -- Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kini mempunyai hampir 30,000 pendeposit dengan nilai simpanan berjumlah RM6.2 juta sejak ianya dilancarkan tahun lepas.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Othman Jusoh berkata walaupun tabung itu gagal mencapai sasaran untuk mengumpul 40,000 pendeposit pada tahun pertama tetapi SSPN tetap berjaya dilaksanakan.

"PTPTN sedang merancang strategi untuk program promosi di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya menabung dalam skim berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran SSPN peringkat Parlimen Kubang Pasu di sini hari Ahad.

Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Johari Baharum, yang juga Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, ketika melancarkan majlis itu turut menaja sebanyak RM20 seorang bagi 150 kanak-kanak untuk membuka akaun SSPN.

Othman berkata orang ramai boleh membuka akaun SSPN di lima buah bank iaitu Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian, Bank Rakyat, Bumiputera Commerce Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Mengenai pembayaran dividen tahunan SSPN, Othman menjelaskan selepas empat bulan beroperasi, pendeposit telah menerima pembayaran dividen sebanyak tiga peratus.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels