Bernama.com
Am 29 Julai, 2005 20:22 PM
 
Mencapai Wawasan 2020 Cabaran Paling Besar Bagi Malaysia, Kata Abdullah


KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Cabaran paling besar yang akan dihadapi Malaysia dalam tahun-tahun yang akan datang ialah mencapai Wawasan 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata ia merupakan "cabaran nombor satu" kepada generasi masa kini, generasi berikutnya dan mungkin generasi selepas itu.

Abdullah berkata perjalanan untuk menjadi sebuah negara maju bukanlah seperti berjalan atau berlari di atas permukaan yang rata atau satu destinasi jauh yang hendak dicapai, tetapi lebih merupakan pendakian lereng gunung yang curam dan berbahaya, dengan pelbagai rintangan sukar dan tidak terduga di sepanjang perjalanan itu.

Dalam ucap utamanya ketika melancarkan Program Transformasi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di sini, beliau berkata "pencapaian matlamat Wawasan 2020 yang telah digariskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 15 tahun yang lalu akan memerlukan kita bekerja keras seperti yang belum pernah kita bayangkan sebelum ini.

"Kita perlu mengeluarkan lebih banyak simpanan kita. Kita memerlukan kekuatan minda, badan dan semangat, kebijaksanaan, keberanian dan ketabahan.

"Kita perlu memiliki wawasan yang jelas dan berfokus untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan dan mendaki sehingga ke puncak kejayaan. Kita perlu mengeluarkan nilai yang maksimum, dan mencapai prestasi yang maksimum juga dalam apa juga yang kita lakukan," tambah beliau.

Abdullah berkata oleh kerana itulah beliau sentiasa bercakap mengenai pentingnya membentuk mentaliti kelas pertama di negara ini untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan infrastruktur kelas pertama yang banyak terdapat di seluruh negara, mewujudkan budaya pencapaian nasional dan pembangunan modal insan.

Bagaimanapun, kata beliau, banyak orang memandang rendah cabaran-cabaran ini serta tidak menganggap sebagai penting banyak perkara yang mereka lakukan atau mereka tidak sedar betapa rumit dan besarnya masalah-masalah yang dihadapi.

Abdullah berkata globalisasi dan liberalisasi kini akan membawa negara semakin hampir kepada saingan yang lebih sengit daripada negara-negara lain di dunia.

"Aliran dana, barangan dan perkhidmatan antarabangsa bermakna kita kini terpaksa berhadapan dengan ekonomi negara-negara serantau yang lebih besar daripada kita.

"Yang penting bagi kita sekarang ialah berubah dan melaksanakan perubahan, untuk meningkatkan produktiviti dan menambah nilai, untuk beralih ke tahap pencapaian yang lebih tinggi dan merit, dan melakukannya sekarang, bukan esok, dan sudah tentu bukan minggu hadapan atau bulan hadapan," tambah beliau.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels