Bernama.com
Am 19 Julai, 2005 20:05 PM
 
Rafidah Sebak Apabila Dikatakan Bersikap Kurang Ajar Terhadap Dr M



SEBAK... Datuk Seri Rafidah Aziz menjadi sebak dan mengalirkan air mata ketika menjawab soalan wartawan mengenai isu senarai pemegang permit kebenaran untuk kereta import (AP) selepas mempengerusikan mesyuarat exco Wanita Umno PWTC, Kuala Lumpur. Foto: Mazlan Samion

Oleh Wan Nurzila Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz menjadi sebak dan mengalirkan air mata hari Selasa semasa menyifatkan hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakannya disalah faham oleh orang ramai susulan kontroversi Permit Kelulusan (AP).

Sambil menyifatkan hubungannya dengan bekas Perdana Menteri itu seperti "bapa dan anak perempuan", Rafidah berkata beliau merasa sedih apabila ada yang mengatakannya bersikap kurang ajar terhadap Dr Mahathir.

"Ianya (hubungan) seperti "bapa" dan "anak perempuan", "sibapa" menyatakan sesuatu yang tidak betul jadi "sianak perempuannya" perlu membetulkannya. Saya rasa keadaan sepatutnya berlaku sedemikian, saya yang merupakan "anak perempuan" menperjelaskan keadaan kepada "bapanya", katanya.

Ketua Wanita UMNO yang berumur 61 tahun itu berkata beliau telah menulis sepucuk surat kepada Dr Mahathir kerana isu membabitkan AP itu telah tersebar "sangat meluas."

Sambil mengakui sentiasa menghormati Dr Mahathir, Rafidah berkata, beliau malah mengakhiri surat berkenaan dengan mendoakan kesejahteraan terhadap Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah.

Semasa membacakan surat itu dengan jelas, beliau berkata "malah saya mengakhiri surat saya (kepada Dr Mahathir) begini, "Sekianlah dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-80 kepada Yang Amat Berhormat Tun dan mendoakan semoga YAB Tun dan Siti Hasmah sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Pada masa ini, Rafidah menjadi sebak hampir tidak dapat mengawal keadaan di tingkat ke-38 ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra ketika taklimat media selepas mempengerusikan mesyuarat exco Wanita UMNO.

Semasa beliau bercakap semasa menangis itu, Rafidah turut mempersoalkan andaian bahawa beliau bersikap kurang ajar terhadap Dr Mahathir sedangkan beliau baru sahaja melakukan tanggungjawab memberi penjelasan perkara yang benar kepadanya.

"Saya mahu memberitahu anda ini, saya tidak memberikannya cenderahati hari jadi, tidak pernah," katanya.

Rafidah berkata, "cenderahati saya kepadanya hanyalah doa. Doa saya kepada Tuhan semoga Tun sentiasa sihat dan beliau sentiasa dilindungi Allah."

"(Wujud) sesetengah salah faham bahawa saya bersikap kurang ajar terhadap Tun. Demi Tuhan, itu tidak benar! Saya tidak boleh bersikap kurang ajar terhadap Tun, saya menyifatkannya sebagai seorang tokoh bapa tetapi semua perkembangan yang berlaku bukan mengenai hubungan, ini adalah mengenai fakta dan angka yang perlu diperbetulkan, harap jangan salah faham," katanya ketika merujuk kepada isu AP.

"Bagi sesiapa untuk mengandaikan bahawa saya bersikap kurang ajar kepada Tun, anda silap, fahaman anda keseluruhannya salah. Tolong pisahkan dasar daripada hubungan peribadi," rayunya.

Isnin, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin meminta Rafidah memohon maaf secara terbuka terhadap Dr Mahathir kerana mengeluarkan kenyataan "kurang senangnya" mengenai AP dan jawapannya kepada bekas perdana menteri perlu dilakukan dengan cara yang lebih terhormat.

"Ingat tak bahawa sayalah antara yang pertama berteriak apabila beliau (Dr Mahathir) mahu mengundurkan diri...sehingga kasut saya tertanggal?" katanya ketika cuba mengingatkan keadaan semasa Dr Mahathir mengumumkan hasratnya untuk mengundurkan diri sebagai perdana menteri ketika Perhimpunan Agung UMNO 2002 di sini.

Rafidah berkata ketidakfahaman mengenai kontroversi AP serta mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir telah meletakkannya dalam kedudukan yang kurang disenangi.

"Jangan ada sesiapa yang mengandaikan bahawa saya bersikap kurang ajar terhadap Tun. Oh Tuhan! Mereka tidak memahami diri saya, mereka benar-benar tidak memahami saya," katanya.

Sambil meminta mereka yang hadir di taklimat itu untuk melihat isu tersebut secara objektif kerana apa yang hendak dilakukan "hanya untuk menjernihkan keadaan."

"Saya merasa sangat sedih apabila seseorang menimbulkan isu perhubungan. Tolonglah, bantu saya dalam perkara ini, hubungan dengan Tun. Jangan sentuh perkara itu. saya telah berkhidmat dengannya untuk satu tempoh yang lama," katanya.

Rafidah telah menyertai Kabinet dalam 1980 sebagi Menteri Perusahaan Awam apabila Dr Mahathir pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri. Dr Mahathir telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Industri dalam Mei 1987, bagi mengambil alih daripada Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir, Rafidah berkata, "saya pasti saya masih rapat dengan Tun, ia tidak pernah berubah kerana ini hanya untuk menjelaskan satu isu."

Rafidah berkata beliau bimbang bahawa Dr Mahathir telah diberi fakta dan angka yang salah berkaitan isu AP.

"Saya rasa adalah penting bahawa Tun diberitahu bahawa sesetengah fakta kemungkinan diberitahu oleh orang lain (yang salah). Ini yang membimbangkan saya. Saya berharap tiada sesiapa memberitahunya sedemikian kerana Tun tidak akan mengetahuinya melainkan seseorang memberitahunya.

"Beliau telah diberitahu perkara yang salah dan beliau ingat ianya betul, bukan sahaja perkara itu menyedihkan, orang itu tidak sepatutnya menimbulkan salah faham sedemikian.

"Kini, saya melaksanakan tanggung jawab saya untuk memberitahu hal yang sebenar kepada Tun. Saya tidak berbuat demikian kerana ini adalah mengenai dasar-dasar kerajaan dan ianya bukan sesuatu yang kita hujahkan, saya mahu Tun mengetahui fakta-faktanya."

Rafidah juga menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menemui Dr Mahathir pada bila-bila masa jika beliau memerlukan lebih banyak penjelasan mengenai isu itu.

"Beliau tidak berada di sini, kami tidak dapat bertemu sekarang, hanya apabila beliau pulang, saya bersedia untuk menemuinya, tiada masalah," katanya bahawa beliau tidak dapat menemui Dr Mahathir kerana "keputusan untuk menulis surat timbul secara mendadak, hanya dalam tempoh dua hari."

Katanya Kabinet telah memintanya menulis surat "dan saya tiada pilihan, saya perlu melakukannya pada hari Jumaat sebelum berlepas (untuk bercuti di seberang laut). Saya telah memastikan Tun terima (surat itu)."

Dr Mahathir kini berada di seberang laut.

Ketika ditanya mengenai cadangan Zainuddin supaya beliau memohon maaf terhadap Dr Mahathir, Rafidah berkata ianya bukan persoalan siapa yang melakukan kesalahan terhadap sesiapa.

"Saya tak tahu kenapa Zam cakap macam tu, sebenarnya saya tidak bersalah dengan sesiapa, bahkan Tun pun bukan mengata saya apa-apa. Tun hanya menyatakan beberapa perkara yang saya telah beri jawapan secara terhormat dalam surat kepada Tun."

"Saya harap janganlah pulak sesiapa menganggap saya berbuat salah kepada sesiapa, tak ada. Ini soal fakta," katanya.

Beliau juga meminta media jangan mewujudkan satu keadaan bahawa beliau sedang bertelingkah dengan Dr Mahathir.

"Jangan wujudkan keadaan seolah-olah saya ni bertelingkah dengan Tun, pasal bila seseorang berkata sesuatu maka kalau tak betul kita jawablah, dan secara kebetulan saya beri secara bertulis kepada Tun kerana saya tidak hendak media main-mainkan."

"Saya pegang Quran O.K?. Saya tak reti cakap main-main, hipokrit tak mahu. Saya percayai tuhan, kamu tahu."

Dalam satu temubual dengan New Straits Times Isnin, Rafidah telah ditanya sama ada beliau telah meminta maaf dalam suratnya kepada Dr Mahathir.

Beliau menjawab, "Kenapa saya perlu berbuat demikian? Ini bukan surat untuk memohon maaf. Tiada apa yang hendak diminta maafkan."

Ketika ditanya sama ada beliau akan menemui Dr Mahathir selepas menghantar surat itu, beliau menjawab tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Malah sebagai seorang menteri Kabinet (semasa Dr Mahathir merupakan perdana menteri), saya jarang menemuinya. Saya hanya dapat menemuinya selepas beberapa bulan." katanya.

-- BERNAMA




Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels