Bernama.com
Am 05 Julai, 2005 17:50 PM
 
Prosedur Baru Pengambilan Pekerja Asing, Levi Dinaikkan Mulai 1 Ogos


PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) – Kerajaan, Selasa meluluskan satu prosedur baru dalam pengambilan pekerja asing selain menaikkan levi untuk sektor perkhidmatan dan perladangan antara 50 peratus dan 100 peratus berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa prosedur baru itu, yang dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikannya Selasa, menghendaki majikan mengenal pasti dahulu pekerja yang hendak diambil sebelum mengemukakan senarai nama dan bilangan mereka kepada Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri untuk kelulusan serta merta.

Mengenai kenaikan levi itu, beliau berkata untuk sektor perkhidmatan, kadar bayaran levi semasa untuk seorang pekerja iaitu RM1,200 untuk Semenanjung dan RM960 untuk Sabah dan Sarawak dinaikkan sebanyak 50 peratus masing-masing kepada RM1,800 dan RM1,440 manakala bagi sektor perladangan, levinya dinaikkan 50 peratus kepada RM540 daripada RM360 yang dikenakan sekarang di seluruh negara.

Jenis-jenis perniagaan dalam sektor perkhidmatan yang terlibat dengan kenaikan itu ialah restoran, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo, dobi, tukang gunting rambut, kedi, perniagaan runcit, borong dan perniagaan tekstil dan barangan logam, lusuh dan terpakai.

"Rasionalnya (peningkatan levi) ialah kerana kita tidak mahu sektor-sektor ini menggunakan buruh asing sebagai satu kaedah yang mudah tetapi mereka hendaklah memberi peluang kepada pekerja tempatan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Sebaliknya, bayaran levi untuk pengambilan pekerja asing untuk rumah kebajikan dikurangkan 50 peratus kepada RM600 daripada RM1,200 manakala levi pekerja di pulau peranginan kekal pada RM1,200.

Bayaran levi untuk pekerja dalam sektor perkilangan dan pembinaan pada RM1,200 masing-masing manakala sektor pertanian pada RM360 juga dikekalkan.

Najib berkata bahawa bagi sektor pembantu rumah, agensi-agensi pekerja asing yang dilantik tidak lagi dibenarkan mengenakan bayaran melebihi RM2,500 kepada majikan untuk mendapatkan seorang pekerja.

Beliau berkata bahawa pada masa ini ada agensi yang mengendalikan pembantu rumah mengenakan bayaran terlalu tinggi.

"Dulunya mereka mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM2,500, sekarang ini mengenakan bayaran sampai RM5,000 kepada setiap pembantu rumah dan di samping itu pembantu rumah tidak menerima saraan gaji daripada majikan kerana majikan membayar kepada agensi berkenaan," katanya.

Katanya dengan berkuatkuasanya prosedur baru ini, majikan dikehendaki membayar gaji selepas bulan pertama pekerja mereka bekerja berbanding hanya selepas tempoh enam bulan sebelum ini.

Katanya, untuk sektor pembantu rumah, kadar bayaran levi untuk seorang pembantu rumah dikekalkan pada RM360 tetapi ia dinaikkan kepada RM540 untuk setiap pekerja yang kedua, ketiga, dan keempat dan berikutnya.

Bagi sektor kedi, beliau berkata jawatankuasa itu mahu semua kelab golf menghentikan perkhidmatan kedi warga asing setelah tamat tempoh berkhidmat dan beralih kepada kedi warga tempatan.

Najib berkata mesyuarat hari ini juga meluluskan satu peraturan membolehkan syarikat baru ditubuhkan bagi pengendalian pekerja-pekerja asing secara pencarian terbuka untuk menyelesaikan masalah mendapatkan pekerja di sektor yang memerlukan pekerja asing secara bermusim dan dalam bilangan yang kecil.

Katanya pihak yang ingin mengusahakan syarikat ini dikenakan syarat membuat bayaran modal minimum RM100,000 di samping bayaran bon RM250,000 kepada kerajaan.

-- BERNAMA




Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels