English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

March 12, 2013 15:56 PM

76 Sekolah Di Terengganu Capai Sasaran Akademik

KUALA TERENGGANU, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 76 sekolah di Terengganu mencapai sasaran kerajaan negeri dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata jumlah itu meliputi 21 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah.

Kerajaan negeri menetapkan sasaran berdasarkan formula '20-10-5-2' iaitu 20 peratus calon UPSR mendapat semua 'A', 10 peratus bagi PMR, lima peratus untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan dua peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, katanya di sini Selasa.

Katanya sekolah terbaik akan menerima Anugerah Anjung Ilmu yang diperkenal kerajaan negeri bermula tahun ini.

Beliau ditemui pemberita selepas penyampaian anugerah itu kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (peringkat UPSR) dan Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud (peringkat PMR). Setiap sekolah turut menerima wang tunai RM10,000.

"Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM300,000 untuk anugerah itu yang baru diwujudkan tahun ini dan akan diteruskan pada masa akan datang bagi melonjakkan lagi motivasi para guru untuk terus cemerlang dalam pencapaian akademik sekolah masing-masing," katanya.

Menurutnya bagi tujuan itu juga satu perhimpunan warga pendidik bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said akan diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Guru Besar SK Tapu Shukri Ghaza berkata kejayaan sekolah berkenaan yang menyaksikan 16 daripada 20 calon UPSRnya mencatat keputusan semua A tahun lalu merupakan hasil penat lelah para guru dan pelajar.

"Tahun ini kita menjangkakan 13 orang calon yang akan mendapat 5A daripada 27 orang calon UPSR," katanya kepada Bernama selepas majlis itu.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SM Sultan Mahmud, Zulkeflee A.Rahman pula berkata pada PMR yang lepas, 88 daripada 104 calonnya mendapat keputusan 8A.

"Alhamdulillah, sekolah ini berjaya mendapat tempat terbaik di peringkat negeri dan tempat ketiga terbaik bagi Sekolah Berasrama Penuh peringkat kebangsaan dengan pencapaian sebanyak 84.62 peratus dalam PMR tahun lepas," katanya menambah kejayaan itu hasil pelaksanaan pelbagai program membabitkan guru dan pelajar.



-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel