|
|
Berita Sarawak
|
November 08, 2012 16:33 PM |
|
MTUC Sarawak Akan Dapatkan Perintah Injuksi Halang Sanmina - SCI Pindah Aset
KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) cawangan Sarawak akan mendapatkan injuksi mahkamah bagi menghalang Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd memindahkan aset mereka dari kilangnya di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya dekat sini.
Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo, berkata pihaknya difahamkan sejak tindakan pemberhentian 800 pekerja, syarikat tersebut mula memindahkan aset serta peralatan dari kilang tersebut.
"MTUC (Sarawak) akan mengadakan satu perbincangan dengan pihak Sanmina-SCI untuk cuba menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, kerana jika mereka sudah berjaya memindahkan peralatan dari kilang tersebut sesi perbincangan tidak berguna lagi," katanya pada media selepas sesi penerangan oleh MTUC Sarawak kepada pekerja yang diberhentikan di sini, hari ini.
Sesi penerangan yang dihadiri 600 pekerja yang diberhentikan, antara lainnya memberi penjelasan mengenai hak pekerja, dan kesalahan yang dilakukan oleh Sanmina-SCI dalam proses pemberhentian pekerja.
Beliau berkata pekerja yang diberhentikan tidak membuat tuntutan melampau, hanya sekadar meminta pampasan yang setimpal dengan tempoh perkhidmatan mereka.
-- BERNAMA
|
|
|
|