English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

July 19, 2010 20:50 PM

PLUS Guna Konsep Hijau, Semulajadi Di Kawasan R&R, Hentian Sebelah

KUALA KANGSAR, 19 Julai (Bernama) -- Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Expressways Berhad akan mengadaptasikan teknologi hijau yang menekankan pendekatan mesra alam bagi memelihara alam sekitar di kesemua 24 hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan 43 hentian sebelah di semua lebuh raya kendaliannya secara berperingkat.

Pengarah Urusannya Noorizah Abdul Hamid berkata setiap hentian R&R dan hentian sebelah akan dinaik taraf mengikut konsep berkenaan mengikut perancangan yang sentiasa berkesinambungan.

"PLUS mempunyai 20 hentian R&R dan kita tidak boleh naiktaraf semua dalam satu-satu masa. Secara purata kita naik taraf dua R&R setahun mengikut perancangan kerana selain R&R dan hentian sebelah kita juga perlu naik taraf plaza tol.

"Kesemua itu akan mengadaptasi ciri-ciri hijau yang mana setiap tempat banyak menggunakan konsep pencahayaan dan aliran pengudaraan semula jadi selain reka bentuk yang unik bagi setiap kawasan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian wajah baru hentian R&R Sungai Perak arah Selatan yang bertemakan 'Jejak Hijau' di sini Isnin.

Beliau berkata hentian R&R Sungai Perak yang dinaik taraf dengan kos sebanyak RM9 juta itu menjadi hentian rehat lebuh raya yang pertama di negara ini yang mengadaptasikan konsep hijau dan menggunakan teknologi mesra alam dalam reka bentuk serta operasinya.

Noorizah berkata antaranya adalah rekabentuk kompleks tandas dan surau yang menggunakan konsep pencahayaan dan pengudaraan semula jadi selain konsep pembinaan di atas 'deck in stilt columns' untuk mengekalkan kontur semula jadi kawasan dan mengelakkan hakisan serta membina tembok penghalang bunyi sebagai benteng penyerap bunyi kenderaan dari lebuh raya.

Beliau berkata hasil usaha dan kerjasama antara PLUS dan PROPEL, hentian R&R itu telah memulakan penggunaan bekas makanan dan minuman yang boleh lupus secara semula jadi dengan lebih cepat, bersih dan selamat.

"Selain itu hentian ini juga menggunakan aplikasi sistem pelupusan sisa makanan menggunakan mesin pembersih eko, yang mana ia akan dijadikan baja untuk lanskap, penggunaan bahan pembersih yang mesra alam supaya ia boleh mengurangkan bahan serta penggunaan tong sampah kitar semula," katanya.

Beliau berkata hentian R&R Sungai Perak itu merupakan antara hentian yang popular di wilayah utara negara di mana ia dikunjungi kira-kira 3,500 pelanggan pada hari biasa, 5,000 hingga 7,000 pelanggan pada hari cuti hujung minggu dan bertambah lagi pada musim perayaan.

Katanya sejak tahun 2001 hingga tahun lepas, PLUS telah membelanjakan lebih RM120 juta untuk menaik taraf 12 hentian R&R dan 20 hentian sebelah di sepanjang lebuh raya kendaliannya.

Noorizah berkata PLUS sedang menaik taraf hentian R&R Ayer Keroh, Melaka dan Dengkil, Selangor yang akan siap sebelum menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Antara hentian R&R yang kini mempunyai konsep dan tema ialah di Pagoh, Johor arah Selatan (Cafe in the Park), Seremban, Negeri Sembilan (Dataran Palma), Tapah, Perak (Street Mall), Gurun, Kedah (Gerbang Utara) dan Dengkil arah utara (Gateway to Cultural Diversity).



-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel