English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

June 17, 2010 18:30 PM

Pingat Emas Hadiah Terbaik Perkahwinan Atlet Brunei


Atlet lempar cakera Brunei Muhammad Yazid Yatimi Yusuf sumbang pingat emas. FotoBERNAMA: Zid Omar

MELAKA, 17 Jun (Bernama) -- Atlet lempar cakera Ahmad Yazid Yatimi Yusof dari Brunei menyifatkan emas yang diraihnya dalam acara itu pada Sukma Melaka sebagai hadiah terbaik perkahwinan.

Beliau, yang mendirikan rumah tangga bulan lepas, mendedikasikan pingat itu kepada isterinya yang dipanggil 'Iza'.

"Pingat emas ini juga untuk negara, untuk jurulatih dan semua yang memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Utama, Kompleks Sukan Hang Jebat, di sini.

Ahmad Yazid Yatimi, 23, berkata beliau juga sayu ketika mendengar lagu kebangsaan Brunei berkumandang di Stadium Utama semasa majlis penyampaian pingat Rabu malam.

"Saya sangat gembira dan puas hati, lebih-lebih lagi ini Sukma terakhir saya. Ada juga rasa sayu apabila mendengar lagu negara semalam... tapi saya gembira," katanya.

Selain emas, Ahmad Yazid Yatimi turut membawa pulang gangsa dalam acara lontar peluru pada Sukma kali ini.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu mempelajari sukan lempar cakera dan lontar peluru semasa berusia 16 tahun.

"Saya mula mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa pada 2006 setelah sering memenangi kedua-dua acara itu dalam kejohanan olahraga antara sekolah-sekolah di Brunei," katanya.

Beliau akan terus melibatkan diri secara aktif dalam sukan olahraga khususnya acara lontar peluru dan lempar cakera di samping bertugas sebagai warder di Jabatan Penjara Brunei.

"Saya mahu memperbaiki rekod peribadi saya 43.29m (lempar cakera) yang saya buat di Sukan SEA Laos tahun lalu," katanya yang pernah mewakili Brunei ke Sukan Olimpik di Beijing, China dua tahun lepas.

Pemenang pingat gangsa acara lempar cakera Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand itu juga belum pasti sama ada dapat beraksi dalam Sukan Asia di Ghangzhou, China hujung tahun ini.

"Masih belum dapat pengesahan tapi latihan akan diteruskan seperti biasa," katanya.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel