English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

March 02, 2010 13:31 PM

Koleksi Antik Jefri

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA TERENGGANU, 2 Mac (Bernama) -- Dari luar, kedai yang dimiliki Jefri Jahit, 38, tidak ubah seperti kedai "bundle" menjual pakaian, seluar, jaket dan beg terpakai.

Tetapi kedai "bundle" yang dibuka di Kampung Paya Keladi di sini sebenarnya menghimpunkan koleksi barang antik, yang kebanyakannya unik dan sukar ditemui.

Lagi pun kedai "Jeff Collection" ini agak tersorok kedudukannya dan lokasinya bukan di kawasan tumpuan ramai.

MINAT

Jefri berkata minatnya mengutip barang antik dan kemudian menjadikannya satu perniagaan, bermula ketika di bangku sekolah rendah lagi.

Beliau mulanya suka memiliki cincin "koka" iaitu cincin yang diperbuat daripada kayu, kemudian beliau beralih kepada barang lama seperti pinggan, jam, pemetik api dan kacip pinang.

"Selepas menamatkan zaman persekolahan, saya berniaga cincin secara kecil-kecilan dan kemudian menambah barang lain seperti periuk, dulang dan keris.

Dengan modal hanya RM200 pada masa itu, beliau memulakan perniagaan pada 1995 menjual cincin pelbagai jenis termasuk yang bertatahkan permata zamrud, nilam dan delima di Pasar Besar Payang.

"Sejak itu, minat saya semakin bertambah untuk terus berada dalam bidang ini dan ditawarkan pula seorang rakan untuk berniaga barang antik," katanya yang kini sudah 15 tahun menceburi bidang ini.

Jefri kemudian membelanjakan lebih RM100,000 untuk mendapatkan pelbagai barang antik sama ada dari dalam atau luar negara.

"Sekarang pendapatan saya mencecah kira-kira RM20,000 sehari," katanya yang pernah berkecimpung dalam industri filem dan terlibat dalam kerja penataan cahaya. Filem terakhir beliau terlibat ialah "Mendam Berahi".

BARANG ANTIK

Jefri berkata beliau kini mempunyai koleksi lebih 30 jenis barang antik seperti kuali tembaga, dacing, keris, duit lama, seterika, mangkuk, pasu, tempayan, dulang, kacip pinang, gitar, gong dan peti besi lama yang dibuat pada 1895.

Beliau berkata selain mendapat bekalan daripada penduduk setempat yang ingin menjual barang antik mereka, beliau turut memperoleh sumber dari orang luar.

"Mereka yang datang ke kedai saya ini, tidak kira datangnya dari mana. Ada itu saya dapat barang antik dari luar negara yang mereka bawa untuk ditukarkan dengan barang antik milik saya. Saya buat seperti sistem barter. Saya yang akan tetapkan harga.

"Kalau barang saya mahal daripada dia, maka dia perlu tambah duit dan begitulah sebaliknya. Barang antik yang ada dalam kedai saya ini, semuanya saya jual. Kalau ada yang berminat mereka akan beli. Jualan saya paling tinggi setakat ini ialah RM40,000 untuk satu barang," katanya.

Jefri berkata bagi barang antik seperti keris, dijualnya mengikut,jenis dan tahun pembuatannya iaitu di antara RM4,000 hingga RM40,000.

Dan bagi gitar, ia berharga antara RM500 hingga RM1,000, tempayan mengikut saiz (RM800 hingga RM900), Kacip Pinang (RM120 hingga RM800), tempayan China (RM6,000) dan dacing (RM250).

KERIS PALING DIMINATI

Jefri berkata keris ialah barang paling laris dan mendapat perhatian pengunjung setiap kali ke kedainya.

"Saya menawarkan pelbagai jenis keris kepada pelanggan. Ada yang saya beli dari Indonesia berukuran empat kaki panjang. Dan ada juga keris yang saya simpan berusia lebih 400 tahun.

Selain keris, beliau berkata turut mendapat perhatian ialah duit lama.

Beliau memperoleh pelbagai duit kertas dan syiling lama dari dalam dan luar negara.

Bertambah uniknya kedai Jefri, beliau turut mempunyai sebuah batu terapung yang diisi di dalam sebuah akuarium dan dipamerkan untuk tatapan pengunjung.

"Saya memperolehnya daripada seorang pakcik yang datang ke kedai saya untuk menukar batu itu dengan barang antik. Saya tidak menyangka bahawa batu itu boleh timbul.

"Selepas itu, seingat saya pada tiga tahun lepas, wakil daripada agensi kaji bumi datang ke kedai saya dan meminta sedikit potongan batu terapung itu untuk dibuat kajian. Saya diberitahu bahawa batu itu kemungkinan berasal dari letupan gunung berapi," katanya.

Beliau tidak berniat untuk menjual batu itu.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel