English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Pelan Laman | Meja Bantuan | E-mel Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Arkib Berita
Rencana
Galeri Foto
Pautan
Lain-lain Pautan
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu
Laman Web Rasmi Negeri Pahang

Berita Timur

November 04, 2009 17:31 PM

Nik Aziz Bersyukur Pemberian Wang Ihsan Namun Masih Terkilan

KOTA BAHARU, 4 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur dengan pemberian wang ihsan oleh kerajaan pusat namun masih terkilan kerana permintaan kerajaan negeri bagi pembayaran royalti minyak masih tidak dipenuhi.

Mursyidul Am PAS itu berkata sehubungan itu beliau akan menunaikan nazarnya untuk berpuasa tiga hari kerana peruntukan wang ihsan itu akan memberikan kebaikan kepada rakyat Kelantan.

"Tapi hati kecil saya tidak puas hati dengan nama wang ihsan. Yang kita mahukan ialah wang royalti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Kelantan akan menerima wang ihsan daripada kerajaan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu melalui Petronas mulai tahun depan.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Nik Abdul Aziz kesal dengan kenyataan Perdana Menteri iaitu Kelantan tidak berhak mendapat royalti minyak kerana operasi carigali minyak dilakukan di kawasan pada jarak lebih tiga batu nautika.

Sementara itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan negeri Kelantan wajar berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana wang ihsan itu dapat digunakan untuk manfaat rakyat seperti membangunkan pendidikan dan membasmi kemiskinan.

"Saya antara yang sangat gembira dengan pengumuman ini kerana ini adalah perjuangan yang diperjuangkan sekian lama Umno Kelantan sebelum ini bagi Kelantan turut menerima wang ihsan," katanya kepada pemberita.

Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berharap melalui pemberian wang ihsan itu, kerajaan negeri dapat menaik taraf Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di sini yang agak uzur.

-- BERNAMA

 

Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA. Disclaimer.