|
|
Berita Selatan
|
November 04, 2009 17:23 PM |
|
MMU Dan Infineon Mahu Bekerjasama Laksana Projek
MELAKA, 4 Nov (Bernama) -- Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan Universiti Multimedia (MMU) bersetuju untuk bekerjasama melaksanakan projek pembangunan secara bersama demi kepentingan bersama kedua-dua pihak di dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Naib Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Peter Bailey, pada satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), berkata kedua-dua pihak menyasarkan untuk meneroka bidang kerjasama di dalam pembangunan penyelidikan kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT) universiti itu.
Di bawah progam itu, Infineon akan menyediakan seminar teknikal di universiti itu dan menawarkan biasiswa bagi siswazah kejuruteraan terbaik dan penganugerahan bagi projek tahun akhir terbaik di dalam bidang kejuruteraan berkaitan.
"Kerjasama Infineon-MMU itu merupakan satu program strategik jangka panjang di dalam meningkatkan inovasi dan membangunkan satu saluran bakat teknikal bagi memenuhi permintaan masa depan," kata Bailey, sambil menyatakan bahawa 50 siswazah MMU kini diambil bekerja oleh syarikat itu.
MoU itu ditandatangani oleh Presiden MMU Prof Dr Zaharin Yusoff, Bailey dan Ketua Pegawai Kewangan Infineon Markus Reisinger, dan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perniagaan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Melaka Datuk Md Yunos Husin.
Semasa berucap, Zaharin berkata di bawah kerjasama, para pelajar MMU akan diberikan peluang untuk meneroka teknologi Infineon dan sekaligus dapat memanjangkan kerjaya mereka di Infineon sebaik graduasi.
"Sekarang ini, terdapat tiga projek penyelidikan kejuruteraan yang masih berada pada peringkat perbincangan dan MoU ini memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pelajar yang belajar di sektor kejuruteraan dan IT," katanya.
MMU, yang diwujudkan pada 1996 oleh Telekom Malaysia Berhad, adalah universiti swasta pertama diluluskan oleh kerajaan di negara ini dan dikenali kerana mengeluarkan siswazah di dalam bidang kejuruteraan, IT dan multimedia kreatif.
Infineon telah diwujudkan di Melaka sejak 1973, dengan melabur di dalam teknologi canggih di dalam zon Perdagangan Bebas di Batu Berendam, dengan tenaga kerja seramai 5,300 orang.
-- BERNAMA
|
|
|
|