English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Pelan Laman | Meja Bantuan | E-mel Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Arkib Berita
Rencana
Galeri Foto
Pautan
Lain-lain Pautan
Yayasan Sabah
Perpustakaan Negeri Sabah

Berita Sabah

October 19, 2009 13:16 PM

Prestasi Ekonomi Sabah Menggalakkan Sepanjang RMK9, Kata Musa Aman

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Ekonomi Sabah sepanjang Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK9) telah menunjukkan prestasi baik dengan pertumbuhan dengan nilai purata sekitar 5.0 peratus setahun, namun impak krisis kewangan global ke atas ekonomi negeri dikhuatiri memberikan kesan susulan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata berbeza dengan ramalan perdagangan dunia, prestasi perdagangan Sabah menunjukkan trend yang mengalakkan dengan nilai imbangan perdagangan meningkat RM5.3 bilion pada 2006 kepada RM18.1 bilion pada 2008, yang mewakili kadar pertumbuhan 241 peratus bagi tiga tahun pertama RMK9.

"Sepanjang RMK9, eksport negeri berkembang 78 peratus, iaitu RM27 bilion 2006 kepada RM48.1 bilion pada 2008 dan semasa kebanyakan negara terjejas akibat kadar penggangguran tinggi ekoran krisis kewangan global, Sabah menunjukkan trend pengurangan iaitu daripada 5.7 peratus pada 2006 kepada 4.9 peratus pada 2008.

"Walau pun kadar pertumbuhan ekonomi negeri berada pada tahap yang memberangsangkan sehingga 2008, kita tidak boleh berasa selesa kerana dibimbangi impak krisis ke atas ekonomi Sabah adalah bersifat memberikan kesan susulan," katanya semasa merasmikan Taklimat Garis Panduan Pertama Penyediaan Rancangan Malaysia ke-Sepuluh (RMK10) di sini Isnin.

Pada lima bulan pertama tahun ini, katanya imbangan perdagangan negeri direkodkan pada kadar -55 peratus walau pun keadaan ini dikatakan berpunca dari ketidakseimbangan harga komoditi eksport utama.

Namun, bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau menyuarakan keyakinan bahawa situasi ekonomi negeri dapat dikawal semula dan akan dapat mengulangi prestasi baik pada tahun ini.

"Keadaan ekonomi sekarang adalah lebih kurang terurus, kami berharap (pertumbuhan ekonomi Sabah dapat dikekalkan) walau pun yang kita tahu harga komoditi menyebabkan ekonomi menurun, tetapi, saya rasa ia terurus," katanya.

Selain itu, katanya 56.4 peratus daripada RM4.2 bilion yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi pelbagai tujuan pembangunan di bawah RMK9 telah pun dibelanjakan, sementara 60.3 peratus daripada RM29.48 bilion bagi projek-projek yang dibiayai kerajaan persekutuan, telah pun digunakan.

"Sambil kita bersedia untuk memasuki fasa pembangunan RMK10, saya juga menggesa agar perancangan pembangunan perlu mengambil kira perkembangan, kepesatan dan perubahan dinamik dalam landskap ekonomi domestik dan global.

"Dalam konteks ini, Sabah perlu beralih dari ekonomi berasaskan komoditi utama semata-mata kepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan, inovatif dan kompetitif bagi meningkatkan nilai tambah dan melonjakkan lagi tahap kemajuan negeri dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Ditanya mengenai harapan negeri Sabah dari pembentangan bajet negara Jumaat ini, Musa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memahami keperluan negeri ini terutama dari segi infrastruktur luar bandar, justeru mengharapkan berita baik dari bajet tahun ini.

"Kita tahu Perdana Menteri faham sangat berkenaan dengan Sabah, seperti apa yang beliau selalu tekankan, Sabah masih banyak lagi kekurangan dari segi perhubungan luar bandar seperti jalan raya, air dan elektrik.

"Jadi ini penting dan saya percaya beliau amat faham, jadi kita mempunyai harapan yang tinggi bahawa beliau tahu apa yang harus diberikan kepada negeri Sabah," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA. Disclaimer.