English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Pelan Laman | Meja Bantuan | E-mel Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Arkib Berita
Rencana
Galeri Foto
Pautan
Lain-lain Pautan
Yayasan Sabah
Perpustakaan Negeri Sabah

Berita Sabah

October 01, 2009 10:23 AM

Pesta Silam Dicadang Dimasukkan Dalam Kalendar Pelancongan Negeri Dan Pusat

KUNAK, 1 Okt (Bernama) -- Pesta Silam yang julung kali dianjurkan di Kunak semalam, dicadang digazet sebagai salah satu aktiviti dalam kalendar pelancongan tahunan negeri dan persekutuan.

Anggota Parlimen kawasan Silam Saleh Kalbi berkata langkah itu perlu bagi memperkenal pelbagai keistimewaan yang sedia ada di Silam seterusnya menarik pelancong luar berkunjung ke kawasan Parlimen itu.

"Pesta Silam ini akan diadakan setiap tahun dan akan dianjurkan secara bergilir-gilir oleh daerah-daerah yang terdapat di Silam seperti Kunak dan Lahad Datu. Sebagai perintis, Kunak dipilih sebagai penganjur tahun ini dan selepas ini ke Lahad Datu.

"Sebab itu, saya berharap Kementerian Pelancongan persekutuan dan negeri memberi ruang kepada Pesta Silam ini untuk digazet menjadi satu lagi aktiviti pelancongan di Sabah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pesta berkenaan di sini Rabu malam.

Melalui usaha itu, Saleh berkata Silam yang memiliki pelbagai produk pelancongan sama ada dari segi kebudayaan, sejarah ketamadunan manusia dan sumber semulajadi darat dan laut boleh dikomersialkan.

Katanya promosi melalui kalendar pelancongan berkenaan juga secara tidak langsung akan menarik minat pelabur luar datang ke Silam seterusnya membantu penduduk kawasan parlimen berkenaan menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Menurut Saleh, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai sektor untuk mengenal pasti daya tarikan Silam untuk dijadikan aktiviti dalam sambutan Pesta Silam setiap tahun.

"Mengikut salah seorang pakar penyelam UKM, saya difahamkan dasar laut di Teluk Darvel yang terletak dalam kawasan Parlimen Silam ini lebih cantik daripada kawasan Pulau Sipadan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pesta Silam bukan sahaja berpotensi dijadikan perintis kepada usaha menarik pelancong ke kawasan parlimen berkenaan kerana keindahan sumber semulajadinya termasuk daya tarikan Lembah Danum, malah boleh menjadi landasan memperkenalkan sektor industri hiliran berasaskan pertanian seperti kelapa sawit dan sumber laut kepada pelabur luar.

-- BERNAMA

 

Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA. Disclaimer.