English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Pelan Laman | Meja Bantuan | E-mel Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Arkib Berita
Rencana
Galeri Foto
Pautan
Lain-lain Pautan
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu
Laman Web Rasmi Negeri Pahang

Berita Timur

August 16, 2009 16:50 PM

Penanam Tembakau Digalak Tanam Kacang Tanah Margenta

BACHOK, 16 Ogos (Bernama) -- Bekas penanam tembakau terutama di Kelantan dan Terengganu digalakkan menanam kacang tanah varieti Margenta yang mampu memberikan hasil sehingga 3.87 tan bagi satu hektar semusim.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim berkata setiap penanam boleh memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi kawasan seluas satu hektar dalam tempoh tiga bulan.

"Ini berikutan kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) didapati varieti terbaru itu sesuai di kawasan tanah beris," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tanaman Kacang Tanah Margenta di Stesen MARDI Telong di sini, pada hari Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Abdul Shukur Abdul Rahman.

Rohani berkata kawasan seluas 6,000 hektar di Bachok yang kini tidak lagi ditanam dengan tembakau boleh diusahakan dengan tanaman alternatif itu.

Katanya kerajaan juga dapat mengurangkan import bahan mentah itu dari China dan India sebanyak RM48 juta setahun jika kawasan berkenaan diusahakan dengan kacang tanah varieti berkenaan.

Beliau berkata kacang tanah yang berasal dari India dan dibawa ke negara ini melalui negara Malawi, sangat popular di kedua-dua negara itu kerana berupaya mengeluarkan hasil yang tinggi dan mempunyai mutu dan citarasa yang memenuhi kehendak pengguna.

Katanya negara hanya mampu menghasilkan sebanyak 1,637 tan sedangkan permintaannya bagi keperluan domestik sebanyak 32,587 tan setahun.

Rohani berkata kementeriannya bercadang memasukkan tanaman itu ke dalam senarai antara tanaman yang turut mendapat insentif pada masa depan bagi menggalakkan petani menanamnya secara komersial.

-- BERNAMA

 

Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA. Disclaimer.