English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Pelan Laman | Meja Bantuan | E-mel Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Arkib Berita
Rencana
Galeri Foto
Pautan
Lain-lain Pautan
Yayasan Sabah
Perpustakaan Negeri Sabah

Berita Sabah

August 10, 2009 16:23 PM

Malaysia Sedia Bantu Indonesia Tangani Kebakaran Hutan - Kong

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya untuk membantu Indonesia menangani masalah kebakaran hutan jika ada permintaan dari negara jiran itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata negara bersedia menghantar tenaga kerja ke Indonesia untuk membantu memadam kebakaran tetapi sehingga ini belum ada permintaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah di sini Isnin.

Malaysia kini mengalami keadaan jerebu yang teruk berikutan kebakaran hutan meliputi 5,300 tompok panas di Indonesia, kebanyakannya di wilayah Riau, Jambi, Sumatera Selatan dan Kalimantan Barat.

Kong berkata jerebu akibat tiupan angin dari Indonesia sudah menjadi kebiasaan antara Julai dan September sejak 1998.

Bagaimanapun, katanya, Semenanjung Malaysia kali ini tidak terjejas teruk berbanding Sarawak yang mencatatkan keadaan jerebu paling teruk.

Katanya beberapa kebakaran hutan dan ladang juga berlaku di negeri Sarawak yang turut memburukkan keadaan di mana Sibu, Miri dan Kuching merupakan antara bandar raya yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.

"Berikutan keadaan jerebu, bomba telah memadam kebakaran hutan seluas 2,000 daripada 2,560 hektar, dengan kawasan teruk terjejas ialah di Miri," kata Kong.

Katanya kira-kira 50 anggota bomba dari Sabah dihantar ke Sarawak Sabtu lepas untuk membantu memadam kebakaran hutan dan ladang di negeri itu.

Di SIBU, anggota bomba terpaksa bekerja sepanjang masa mengawal kebakaran semak meliputi ribuan hektar ladang dan kebun.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, Mutalib Abdul Rahim berkata tugas memadam kebakaran itu bukan mudah kerana membabitkan kawasan tanah gambut yang luas.

Katanya kebimbangan utama jabatan adalah mengelak kebakaran itu merebak ke kawasan kediaman dan lapangan terbang.

Semalam, Hutan Simpanan Bukit Lima di kawasan bandar ini terpaksa ditutup kepada orang awam berikutan kebakaran semak mengakbitkan 400 hektar di hutan simpanan itu musnah.

Menurut Jabatan Alam Sekitar Negeri, pada pukul 11 pagi ini bacaan IPU di bandar ini telah mencecah 187, iaitu paling tinggi di negara ini.

Indeks bagi kualti udara yang tidak sihat ialah apabila melebihi bacaan 100.

-- BERNAMA

 

Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA. Disclaimer.