English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

September 04, 2008 14:07 PM

Remaja Berniaga Di Bazar Ramadan Cari Duit Raya

PULAU PINANG, 4 Sept (Bernama) -- Bagi kanak-kanak kedatangan bulan Ramadan memang sangat dinantikan kerana mereka biasanya dijanjikan dengan habuan tertentu sekiranya berjaya menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan.

Bagaimanapun lain halnya dengan golongan remaja dan dewasa, kedatangan bulan suci itu sangat dinantikan kerana inilah masanya mereka berpeluang mengumpul 'duit raya' bagi menampung perbelanjaan membeli keperluan menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Bernama di beberapa bazar Ramadan di sini mendapati semakin ramai remaja mengambil kesempatan berniaga secara kecil-kecilan di bazar Ramadan bagi mencari duit raya, mengisi masa lapang dan menimba pengalaman berniaga sebelum melibatkan diri dalam perniagaan secara serius satu hari kelak.

Terdapat di antara mereka berniaga kuih-muih, roti John, air tebu, air kelapa, ikan bakar dan ayam panggang, malah tidak kurang juga yang membantu keluarga berniaga di bazar Ramadan.

Di Pulau Pinang sahaja terdapat lebih kurang 5,000 lot bazar Ramadan disediakan untuk memupuk minat berniaga dan memberi peluang kepada orang ramai mencari rezeki tambahan sepanjang sebulan berpuasa.

Kebanyakan remaja yang berniaga secara kecil-kecilan adalah pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), mereka yang sedang menunggu pekerjaan tetap atau sedang bercuti.

Bagi Azri Syazwan Ahmad, 23, peluang membantu bapa saudaranya menguruskan gerai menjual juadah berbuka puasa di Bayan Baru menjadi pengalaman berharga dalam hidupnya.

"Mulanya suka-suka tetapi bila sudah lama saya mula minat dengan perniagaan ini. Lagi pun saya boleh kenal ramai orang dan mengisi sepenuhnya masa terluang di Ramadan ini. Paling seronok ketika sudah masuk waktu berbuka puasa, masih ada pelanggan yang datang membeli kuih," kata graduan IPTA itu.

Katanya selain dapat mempelajari selok belok perniagaan, beliau boleh mengumpul wang perbelanjaan hari raya nanti.

Rakannya, Firdaus Kamal, 21, tidak mensia-siakan pelawaan Azri untuk sama-sama menguruskan gerai itu berikutan bilangan pelanggan yang semakin bertambah dua jam sebelum waktu berbuka.

"Macam-macam boleh saya manfaatkan ketika membantu di gerai ini. Memang mula-mula saya malu dan tidak yakin untuk berhadapan dengan pelanggan. Sekarang, Alhamdulillah semuanya dapat saya atasi," katanya.

Firdaus, yang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang, berkata pengalaman membantu rakannya menguruskan gerai Ramadan mengajarnya erti mencari rezeki dan memanfaatkan pendapatan yang diperoleh.

Sementara itu, Safwan Hanafi, 20, berkata gerai serunding daging, lemang dan ketupat milik bapa saudaranya menjadi medan bagi beliau mempelajari selok-belok perniagaan.

"Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka boleh terbabit secara langsung dalam dunia perniagaan ini. Walaupun secara sambilan, pengalaman dan teknik menguruskan perniagaan dengan baik yang saya peroleh amat berharga," kata pelajar jurusan Multimedia di ibu negara.

Apa pun, kesediaan remaja untuk berniaga adalah satu langkah awal mereka mengenali dunia perniagaan dan mengajar mereka lebih berani untuk berhadapan dengan pelanggan sewaktu menjadi usahawan.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel