English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

January 26, 2008 15:56 PM

Taman Sungai Dua Utama Pemangkin Pertumbuhan Bandar Baru Di Parlimen

BUTTERWORTH, 26 Jan (Bernama) -- Pembinaan Taman Sungai Dua Utama di kawasan seluas 40 hektar di Mukim 16, Sungai Dua di sini akan menjadi pemangkin kepada kewujudan pusat pertumbuhan atau bandar baru di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dalam tempoh 10 tahun lagi.

Pembangunan kawasan itu yang diterajui agensi kerajaan iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), membuka peluang secara langsung kepada rakyat terutamanya di kawasan setempat untuk memiliki rumah mampu milik yang mempunyai kelengkapan prasarana yang moden.

Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar berkata, selain menyediakan pelbagai jenis kediaman, ia juga akan dilengkapi dengan sekolah, masjid, pasar, premis ruang niaga serta pasar raya untuk menjana pembangunan ekonomi kawasan itu.

Beliau berkata, kedudukan taman itu yang strategik dan berdekatan susur keluar dan masuk Lebuh raya Utara Selatan memudahkan perhubungan dengan bandar lain seperti Kepala Batas dan Sungai Petani di utara serta Bukit Mertajam dan Seberang Jaya di bahagian tengah Seberang Perai.

Ketika ditemui pemberita selepas melancarkan penjualan rumah Taman Sungai Dua Utama, di sini hari ini, beliau berkata, masa depan masyarakat di Sungai Dua akan lebih terjamin kerana kerajaan melalui agensi-agensinya sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup mereka.

"Masyarakat di Sungai Dua terutamanya golongan Bumiputera berpeluang memiliki hartanah serba lengkap di kawasan itu dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di kawasan lain. Kita juga mahu golongan profesional Melayu menjadikan Taman ini sebagai pusat operasi masing-masing untuk memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

"Saya amat berharap pembangunan bandar baru Taman Sungai Dua Utama ini memberi peluang kepada 10,000 penduduk untuk menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa," katanya.

Shariff, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, PERDA mempunyai skop tugas yang luas meliputi penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat, membangunkan sosio-ekonomi masyarakat setempat, pembangunan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pendidikan serta terlibat dalam projek Taman Pengeluaran Makanan di Pulau Pinang.

Katanya, dalam tempoh 24 tahun penubuhannya, PERDA berjaya memainkan peranan membangunkan kawasan pinggir bandar dan luar bandar di negeri ini.

Bagi Fasa 1A Taman Sungai Dua Utama itu, pembinaan 123 unit rumah teres dua tingkat, tujuh unit kedai pejabat dua tingkat dan seunit kedai pejabat tiga tingkat kini siap 98 peratus manakala Fasa 1B yang terdiri daripada 266 unit pangsapuri kos rendah, 14 unit kedai, sebuah pejabat pengurusan dan sebuah surau dijangka siap Mac ini, katanya.

"Orang ramai jangan bimbang kerana PERDA menggunakan konsep bina dulu rumah baru jual. Mereka boleh datang melihat rumah yang telah dibina dan jika berkenan boleh terus membelinya," kata bekas Pengerusi Perda itu.

Shariff juga berkata, MARA telah bersetuju untuk membina Institut Kemahiran Mara (IKM) di kawasan seluas 28 hektar milik PERDA berhampiran Taman Pengeluaran Makanan di Ara Kuda, Tasek Gelugor dalam masa terdekat ini.

Katanya, persetujuan telah dicapai mengenai lokasi itu dan pembangunan IKM itu kelak akan memberi kesan limpahan terhadap pembangunan ekonomi kawasan berhampiran.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel