English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

April 06, 2007 16:38 PM

Penduduk Di Utara Dipelawa Sertai Pertandingan Candat Sotong Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) -- Penggemar aktiviti mencandat sotong dari kawasan utara Semenanjung dipelawa menyertai Pertandingan Mencandat Sotong Terengganu 2007 peringkat Kebangsaan berikutan perjalanan ke negeri ini semakin mudah dengan adanya perkhidmatan penerbangan komuniti Firefly, anak syarikat milik penuh penerbangan Malaysia (MAS).

Pertandingan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Terengganu, Pelancongan Malaysia dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri itu akan diadakan di perairan Pulau Redang, di sini selama tiga hari mulai 18 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pertandingan itu, Tun Baharum Tun Abdul Razak berkata beberapa kategori pertandingan membabitkan hadiah wang tunai bernilai RM50,000 disediakan untuk pemenang seperti RM3,000 bagi juara kategori individu, RM2,000 bagi kategori sotong terpanjang, tekong terbaik RM1,000 dan juara bagi kategori jemputan orang kenamaan (VVIP) akan menerima RM3,000.

Beliau berkata kategori berkumpulan bagi tiga atau empat orang juga diadakan membabitkan sektor swasta, kerajaan serta jemputan antarabangsa, dan sehingga ini sebuah universiti dari Jepun telah mengesahkan penyertaan seramai 10 pelajarnya.

"Mereka juga sebenarnya hendak menguji keberkesanan umpan tiruan yang mereka hasilkan untuk mencandat sotong," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya selain 500 peserta yang berdaftar, pertandingan itu juga dibuka kepada 50 pengunjung di sembilan buah pusat peranginan yang terdapat di sepanjang Pantai Pasir Panjang, Pulau Redang secara "walk-in".

Katanya yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM100 bagi kategori individu manakala RM400 bagi kategori berkumpulan. Borang penyertaan boleh didapati di sekretariat pertandingan di alamat 16-2, Tingkat 1, Bangunan Mara, Jalan Kampung Dalam, Kuala Terengganu dan sebarang pertanyaan boleh diajukan di talian 09-6317237 atu faksimili 09-6315237.

Katanya pusat peranginan di sini juga menawarkan pelbagai pakej penginapan menarik untuk peserta pertandingan, antaranya pakej perjalanan sehari bagi penduduk tempatan iaitu berlepas dari Kuala Terengganu pada sebelah pagi dan pulang pada hari yang sama selepas tamat pertandingan manakala bagi peserta luar, penganjur juga menawarkan pakej penginapan tiga hari dua malam bagi mereka yang berminat menginap di pusat peranginan itu.

Tun Baharum berkata mulai tahun depan, aktiviti mencandat sotong ini dijadikan pertandingan peringkat antarabangsa bersempena dengan Tahun Melawat Terengganu 2008.

Beliau berkata upacara perasmian pertandingan itu akan disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Laguna Redang Island Resort, yang terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik di negeri ini, pada 19 Mei.

Selain itu pelbagai aktiviti lain disusun untuk mengisi fiesta sempena pertandingan mencandat sotong selama tiga hari itu antaranya sukaneka, pameran pengusaha produk pelancongan dan aktiviti riadah, katanya.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel