English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

September 28, 2006 10:18 AM

Cina Peranakan Kelantan Kian Pupus Dek Arus Pemodenan

Oleh Noor Hammad Wariman

KOTA BAHARU, 28 Sept (Bernama) -- Berbeza dengan Baba dan Nyonya di Melaka, Cina Peranakan Kelantan diberi banyak gelaran. Orang Melayu memanggil mereka Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita.

Bagi Cina di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar manakala masyarakat Thai di Kelantan menggelar mereka sebagai Cina Darat, Cina Kampung atau Cina Kelantan.

Walaupun berbangsa Cina namun kulit mereka kebanyakannya sawo matang dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dialek Kelantan dengan bahasa Hokkien yang berbeza hasil campuran Melayu dan Thai. Tetapi umumnya mereka tidak tahu berbahasa Mandarin.

Nama-nama yang digunakan seperti Gan Awang, Tan Awang Besar, Lau Cheng San atau Che Hassan, Che Midah, Mek Su dan nama-nama lain mencerminkan bagaimana proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri di kalangan masyarakat tempatan.

Seperti orang Melayu, mereka juga gemar bermain gasing pangkah, menonton seni wayang kulit dan makyong serta mendengar pukulan rebana dan kertuk.

MAMPU BACA DAN TULIS JAWI

Yang menariknya, baik lelaki mahupun wanita, mereka suka makan sireh di waktu lapang dan memakai 'semutar' (serban) apabila bekerja di bawah terik matahari.

Kebolehan menulis dan membaca dalam Jawi adalah satu perkara biasa bagi generasi tua Cina Peranakan Kelantan yang mendapat pendidikan di sekolah aliran Melayu selain pergaulan yang rapat sejak kecil dengan rakan mereka yang berbangsa Melayu.

Masyarakat Cina Peranakan itu bertaburan di 48 buah kampung di Kelantan bermula di Sungai Pinang di Tumpat sehingga ke Gua Musang dan di sepanjang Sungai Kelantan.

Walaupun tiada rekod bertulis mengenai kedatangan awal orang Cina ke Kelantan, namun mereka percaya kedatangan awal nenek moyang mereka ke negeri itu adalah lebih awal dari kedatangan Cina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sayangnya, keunikan warisan Cina Peranakan Kelantan kini berada di tahap kepupusan.

Seorang pesara guru, Gan Awang @Abdullah bin Balisen, 79 tahun, bimbang warisan budayanya tidak akan kekal lama memandangkan kebanyakan generasi muda secara perlahan-lahan telah meninggalkan budaya dan adat resam yang diamalkan generasi tua.

Mereka tidak lagi gemar memakai kain pelikat tetapi bila menyentuh mengenai makanan, budaya makan budu dengan ulam masih bertahan dan sukar untuk diketepikan bila menjamu hidangan.

NAMA MELAYU SUKAR UNTUK BEZAKAN MEREKA

"Jangan kata tulis Jawi, gemulah (mendiang) ayah saya tidak lepas dengan semutarnya semasa bekerja tetapi anak-anak saya kecuali yang sulung, sudah malu untuk memakai kain pelikat," katanya.

Gara-gara namanya yang menyerupai orang Melayu, beliau dibenarkan menganggotai Koperasi Guru Melayu Kelantan pada akhir tahun 40-an dan awal 50-an walaupun ia terbuka kepada orang Melayu sahaja ketika itu.

Apapun, katanya, mereka tidak pernah berkiblatkan negara asal nenek moyang mereka, China, malah bangga dan menyifatkan Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka.

Bagi Koo Mek Kee, 77, wanita peranakan Cina Kelantan yang tebal dengan budaya Melayu Kelantan berkata makan sireh di waktu lapang adalah perkara biasa.

"Kadang-kadang saya hanya berkemban dan berkelubung kain lepas sekiranya menziarahi tetangga tetapi berkemban sahaja ketika berada di rumah kerana ini adalah pakaian harian," katanya.

Bagaimanapun, budaya dan amalan memakai kain pelikat bagi lelaki dan berkemban kain batik bagi wanita Cina Peranakan Kelantan itu mungkin akan pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi berikutan arus pemodenan.

CINA PERANAKAN AKAN PUPUS WARISAN MEREKA

Gan Awang yang juga Presiden Persatuan Cina Peranakan Kelantan mengakui bahawa tidak mustahil kepupusan itu akan berlaku kerana kebanyakan mereka yang berumur 45 tahun ke bawah sudah tidak mengamalkan budaya ini lagi untuk menyesuaikan diri mereka dengan arus perkembangan zaman.

"Masa berlalu dan manusia berubah. Kebanyakan generasi baru kami sudah berhijrah ke dunia luar dan sebahagian besarnya mendapat pendidikan aliran Cina di 14 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di negeri ini," katanya.

Katanya, generasi muda kini ingin bersaing dengan masyarakat lain selain sudah mampu berkomunikasi dalam bahasa Mandarin berbanding nenek moyang mereka.

"Bagaimanapun, kami adalah rakyat Malaysia tulen yang sentiasa merapatkan perpaduan di kalangan berbilang kaum," katanya.

MUZIUM UNTUK CINA PERANAKAN KELANTAN

Katanya persatuan yang ditubuhkan pada 1987 itu bercadang mewujudkan sebuah Muzium Cina Peranakan Kelantan supaya kewujudan masyarakat yang unik itu dapat menjadi tatapan generasi akan datang.

Beliau juga mendakwa kedatangan awal masyarakat Cina ke Malaysia bermula di Kelantan, dan bukan di Melaka, berdasarkan sebuah patung lama Ma Chor Bew di tokong Sui Yek Khong di Pulai, Gua Musang, yang dikesan berasal dari zaman Dinasti Ming yang memerintah Negeri China antara 1368 sehingga 1644.

Di Kelantan sahaja, ada 24 tokong dengan tokong tertua berusia 600 tahun dikesan di Kampung Pulai, Gua Musang, dan tokong 300 tahun di Kampung Tokong, Kemubu.

"Kami berharap Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan menyediakan peruntukan bagi membolehkan kami menjalankan kajian terhadap sejarah kedatangan awal masyarakat Cina ke Kelantan berdasarkan tokong tertua Cina yang ada di Kelantan berumur lebih 500 tahun," katanya.

Jika peruntukan sedemikian diluluskan, Persatuan itu bersedia membuat kajian dengan kerjasama pakar dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Arkib Negara, katanya.

Gan yang akan bersara sebagai guru kaunselor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa di Kota Baharu, sebelum akhir tahun ini, bersedia memulakan kajian itu sepenuh masa jika diberi peluang.

Hakikatnya, biarpun Cina Peranakan Kelantan ini tidak mampu mengekalkan warisan mereka, namun sekurang-kurangnya jika diberi peluang menjalankan kajian dan diwujudkan muzium, mereka boleh mengabadikan sejarah mereka ini sebagai khazanah unik untuk tatapan semua.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel