English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

February 15, 2006 16:08 PM

Ladang Strawberi Guna Teknologi Mardi


Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra (kiri) dan Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abd Hamid berkenan melawat tapak model tanaman tanah tinggi di Stesen MARDI di Tanah Rata di Cameron Highlands. Hadir sama Ketua Pengarah MARDI Dr Abd Shukor Abd Rahman (kanan). Foto: Zue

CAMERON HIGHLANDS, 15 Feb (Bernama) -- Mardi akan memainkan peranan sebagai pusat rujukan dalam pembangunan projek perladangan buah strawberi, Projek Diraja, di Lojing, Kelantan.

Ketua Pengarahnya Abdul Shukor Abdul Rahman berkata Mardi juga diberi tanggungjawab untuk melatih pengusaha tempatan yang terbabit dalam projek berkenaan yang diilhamkan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

"Pengusaha projek itu akan ditentukan sendiri oleh Sultan Kelantan, dan Raja Perempuan mahu projek itu dimulakan tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari Rabu.

Beliau berkata strawberi amat sesuai ditanam di Lojing yang merupakan sebuah kawasan hutan di kaki gunung dan suhunya hampir sama dengan Cameron Highlands iaitu antara 15 dan 20 darjah Celsius.

Selain strawberi yang sesuai ditanam di kawasan yang mempunyai ketinggian antara 800 dan 1,000 meter dari paras laut itu, pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan akan ditanam, katanya.

Abdul Shukor berkata pada peringkat permulaan, projek seluas empat hektar di atas tanah milik Sultan Kelantan itu hanya akan melibatkan kawasan seluas dua hektar.

"Apa yang penting pembangunan di kawasan itu memerlukan pengawalan alam sekitar yang baik," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Mardi akan membina sebuah lagi stesen di sana, beliau berkata agensi itu tidak bercadang menambah stesen tetapi Stesen Mardi Cameron Highlands akan berperanan sebagai pusat rujukan projek berkenaan.

Semalam, Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra bersama Raja Perempuan melawat Stesen Mardi di sini untuk mengetahui mengenai penanaman strawberi dan penggunaan teknologi Mardi serta potensi kawasan bersuhu rendah dan tanah tinggi.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel