English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

July 29, 2005 22:28 PM

Seorang Selamat, Seorang Hilang Dan Dua Terbunuh Dalam Nahas Helikopter


MISI BERJAYA… Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melambai tangan kepada unit Polis Udara setelah menemui mangsa helikopter Bell 206 Jet Ranger yang terhempas di Bukit Batu Tiban Isnin lepas, di Kapit, Jumaat. Foto Unit Udara Polis

KAPIT, 29 Julai (Bernama) -- Razali Hassan, 48, seorang daripada empat orang yang menaiki helikopter Bell 206 Jet Ranger yang terhempas di Bukit Batu Tiban di Ulu Baleh dekat sini Isnin lepas, ditemui selamat oleh pasukan penyelamat awal hari Jumaat.

Seorang lagi penumpang, Ramli Jamal, 35, masih hilang manakala dua yang lain, juruterbang Kapten Razali Sani, 48, dan anggota tentera pengiring, Kpl Empeni Anak Karong, 32, terkorban dalam nahas itu.

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Talib Jamal, yang juga komander operasi mencari dan menyelamat (SAR), berkata Razali patah tangan kanan, cedera di mata kiri dan calar-calar di tangan kiri serta bengkak di kepala akibat nahas itu.

Beliau juga mengadu sakit di dada, katanya kepada pemberita di bilik operasi ibu pejabat polis daerah Kapit di sini sebaik tiba dari Long Singut, tempat beliau menyelaras misi menyelamat yang memasuki hari keempat hari Jumaat.

Menurutnya pasukan SAR yang diketuai Ketua Inspektor Poge, ketua jurulatih di Sekolah Latihan Polis, Kuching, sampai di lokasi nahas pada pukul 7.45 pagi.

Talib berkata usaha terus dijalankan sehingga 6.30 petang untuk membawa keluar Razali (Hassan) dan dua mangsa lain.

"Malam ini mereka masih berada di lokasi dua iaitu berdekatan tapak pendaratan di puncak Bukit Batu Tiban.

"Atas nasihat juruterbang helikopter, kita perlu membawa mereka keluar secara berperingkat-peringkat sehingga ketinggian 6,800 kaki ke tapak pendaratan dan kemudian diangkat naik," katanya.

Talib berkata ia merupakan satu-satunya pilihan yang ada dan selamat ekoran cerun yang curam serta angin lintang yang kencang di situ.

Beliau berkata sebaik dipindahkan ke pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mereka akan dibawa ke Hospital Sibu.

Mengenai mangsa yang terbunuh, beliau berkata jenazah mereka ditemui pada fiuslaj.

Mengenai nasib Ramli, beliau berkata pasukan 26 anggota terlatih dari Pasukan Gerakan Am (PGA) anggota elit TUDM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, masih mengesannya.

Talib berkata mereka turut disertai lima anggota PGA dari Sabah yang mempunyai pengalaman SAR di kawasan bergunung-ganang.

Beliau berkata keadaan gunung yang curam, hutan tebal dan angin lintang yang kuat di kawaan itu merupakan cabaran utama operasi "Operation Hornbill" selama empat hari itu.

Talib berkata Ramli yang pernah bekerja sebagai pekerja balak sebelum menyertai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), mungkin melompat keluar semasa helikopter itu terhempas.

"Beliau mungkin juga terjatuh. Satu lagi teori ialah beliau selamat dan cuba mendapatkan penyelamat," katanya.

Mengenai punca nahas, Talib berkata ia hanya akan diketahui selepas Razali sihat dan boleh ditemubual.

Talib mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan syarikat pembalakan di kawasan berkenaan, termasuk Rimbunan Hijau, yang membantu membekalkan bahan api untuk helikopter yang terbabit dalam operasi berkenaan.

"Sifat baik hati dan kerjasama rapat mereka telah menjimatkan masa kerana ia mengambil masa kira-kira sejam untuk pergi balik ke Kapit bagi mengisi minyak," katanya.

Isnin lepas, helikopter yang dipandu Kapt Razali dengan tiga penumpang, terhempas ketika dalam perjalanan dari Long Singut. Bangkai pesawat dikesan pada hari yang sama.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel