English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

January 03, 2018 21:54 PM

Malam: 329 Mangsa Banjir Di Enam PPS Di Dungun Dan Kemaman

KUALA TERENGGANU, 3 Jan (Bernama) -- Sejumlah 329 mangsa banjir daripada 109 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun dan Kemaman setakat 8 malam ini, menurun sedikit berbanding 333 orang daripada 110 keluarga pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman, Dungun mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 252 orang daripada 92 keluarga di dua PPS manakala di Kemaman terdapat 77 orang daripada 17 keluarga di empat PPS.

"Di Dungun, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja menempatkan 77 orang (31 keluarga).

"Di Kemaman pula, Dewan Orang Ramai Teladas terdapat 21 orang (tiga keluarga), Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 orang - lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 orang - lima keluarga) manakala Kampung Pasir Gajah menempatkan 12 orang (empat keluarga)," katanya.

Che Adam berkata hujan dijangka tertumpu di pedalaman Kemaman esok dan cuaca diramal semakin baik pada Jumaat ini.

"APM Terengganu juga akan membuat pemantauan di beberapa kawasan pantai tumpuan orang ramai pada malam ini kerana jangkaan air pasang besar setinggi tiga meter akan berlaku pukul 11 malam ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata hanya satu sekolah ditutup esok iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah di Kemaman melibatkan 213 murid dan 23 guru manakala SK Pasir Raja di Dungun yang ditutup hari ini dijangka boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa esok.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel